January 30, 2012

Carroll Mendapat Pujian

LIVERPOOL: Kenny Dalglish menghambur kata-kata pujian ke atas penyerang, Andy Carroll untuk peranannya dalam membantu kemenangan penuh dramatik Liverpool mengatasi musuh tradisi, Manchester United 2-1 pada aksi pusingan keempat Piala FA, malam kelmarin. 

Pemain bernilai £35 juta (RM167 juta) itu memainkan peranan penting untuk kedua-dua gol Liverpool - mengganggu penjaga gol United, David de Gea ketika gol pertama Daniel Agger dan menanduk sepakan jauh Pepe Reina bagi gol kemenangan Dirk Kuyt.


Lantas Dalglish mula berkeyakinan tinggi bahawa pasukan bimbingannya itu akan dapat melihat aksi lebih baik daripada Carroll selepas ini biarpun bekas penyerang Newcastle itu bergelut mencari rentak di Anfield sejak setahun lalu.


“Dia (Carroll) cukup baik untuk bola di udara tetapi dia masih perlu mempertingkatkan kelebihannya itu untuk disesuaikan dengan corak permainan kami. Memang kami perlu lebih bersabar berbanding kebanyakan orang. 

“Saya pasti kami akhirnya akan mendapat hasil nanti tetapi ia sudah mula menampakkan sesuatu ketika ini,” kata Dalglish. 

Ditanya mengenai persembahan keseluruhan pasukannya, pengurus Liverpool itu berkata: “Ia satu usaha yang hebat daripada para pemain kami selepas mereka berjaya menyingkirkan Manchester City pada separuh akhir Piala Liga tempoh hari. 

“Untuk meminta mereka tampil sekali lagi dengan baik pada perlawanan ini, ia memerlukan komitmen, sikap dan keghairahan tinggi untuk mendapatkan satu lagi keputusan yang diinginkan. – Agensi