January 30, 2012

Kedah Makin Parah, Nidzam Adzha Letak Jawatan


KEGAGALAN Kedah meraih sebarang kemenangan setelah mengharungi lima perlawanan memaksa jurulatih sementara skuad Hijau Kuning, Mohd. Nidzam Adzha Yusof (gambar) melepaskan jawatannya.
Keputusan itu dibuat selepas Kedah sekali lagi tumbang di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam kelmarin yang sebelum ini boleh dianggap sebagai gelanggang keramat buat mereka.
Pada pertemuan itu, skuad Hijau Kuning dihukum atas kelemahan mereka sendiri apabila tewas 1-3 kepada pasukan berstatus kelab, Johor FC.
Nidzam Adzha yang kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya sepanjang lima perlawanan setakat ini menyifatkan aksi tersebut sebagai persembahan terburuk barisan kendaliannya.
“Saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih skuad utama Kedah dan menyerahkannya kepada Radzi (Mat Din),” kata Nidzam Adzha.
Pada pertemuan di laman sendiri, Kedah hanya sekadar seri tanpa jaringan dengan Lions XII, selain diaibkan dengan kekalahan 0-3 kepada Kelantan dan terbaharu, tewas 1-3 kepada Johor FC.
Nidzam Adzha yang merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Kedah menggalas tugas selaku pengendali sementara Kedah bagi menggantikan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan yang digantung tujuh perlawanan.
Wan Jamak didakwa mengkritik mutu pengadilan ketika menyaksikan anak-anak didiknya seri 1-1 menentang Perak pada perlawanan terakhir Kumpulan A saingan Piala Malaysia pada 28 September lalu.
Turut menerima nasib sama ialah Radzi yang merupakan penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol Kedah, Ahmad Sobri Ismail yang digantung empat perlawanan dan mereka kembali memulakan tugas mulai malam kelmarin.
Mengulas lanjur, Nidzam Adzha memberitahu, Kedah memerlukan jurulatih yang lebih baik bagi membawa pasukan ke puncak kejayaan.
Ujarnya, biarpun beliau sudah berusaha yang terbaik, namun masih gagal membantu Kedah meraih kemenangan dan kejayaan.
“Saya akan fokus kepada pasukan Piala Presiden pula selepas ini,” katanya.
Namun dalam keberatan meninggalkan skuad utama, Nidzam Adzha tetap menaruh keyakinan bahawa para pemain Kedah masih mampu bangkit memandangkan saingan musim ini masih di peringkat awal.
“Cuma pesan saya kepada pemain jangan berputus asa dan bersatu padu.
“Jangan menuding jari sesama mereka, sebaliknya semua perlu rasa bertanggungjawab di atas prestasi Kedah,” katanya.
Kepada penyokong setia skuad Hijau Kuning, jurulatih muda itu melahirkan penghargaan di atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada pasukan.
“Saya memahami kemarahan mereka (penyokong). Ia menunjukan mereka sayangkan pasukan dan mahu pemain bangkit (meraih kemenangan).
“Saya berharap mereka akan terus menyokong Kedah, walau dalam keadaan apa sekali pun prestasi pasukan,” katanya.
Ketika ini, Kedah terbenam di dasar liga dengan hanya mengutip dua mata hasil seri dua kali dan tewas dalam tiga perlawanan.