December 20, 2011

Badri Radzi Mirip Cristiano Ronaldo: Pujian Atau Provokasi?





Sempena perlawanan antara Kelantan menentang Persebaya untuk merebut Piala Permai yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada 23 Disember 2011 dan aksi timbal balik di Surabaya pada 28 Disember 2011 menimbulkan berita yang agak sensasi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Semenjak semalam, heboh berkaitan jurulatih Persebaya iaitu Divaldo Alves yang memuji kapten pasukan Kelantan, Badhri Radzi a.k.a PIYA mempunyai corak permainan mirip bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Sekiranya pujian ini adalah ikhlas daripada jurulatih Persebaya, ia adalah satu kredit buat pasukan Kelantan dan juga buat PIYA sendiri.

Untuk mendapat jolokan sebegitu bukanlah sesuatu perkara yang mudah melainkan pemain tersebut mempunyai kualiti yang betul-betul bagus ketika beraksi bersama pasukan dan PIYA telah menunjukkan persembahan yang cemerlang sepanjang beraksi bersama The Red Warrior.

Namun perkara yang harus kita ingat ialah, kita jangan lalai dengan pujian yang diberikan ini.

Adakalanya pujian yang diberikan bukanlah ikhlas namun semata-mata untuk menyedapkan telinga kita mendengar dan sekaligus melalaikan misi Kelantan untuk mendapatkan Piala Permai itu.

Pujian sebegini bukanlah perkara yang asing dan pelik di Eropah. Boleh dikatakan dalam setiap perlawanan yang menemukan kelab-kelab yang super, jurulatih mana-mana pasukan akan mengeluarkan kenyataan yang berbentuk sensasi sebagai sebahagian daripada provokasi minda untuk menjadikan pasukan lawan akan menjadi lalai dan merasa hebat dengan pujian itu.

Inilah yang harus diberikan perhatian kerana sebelum ini Liga Super Malaysia tidaklah begitu popular dipentas antarabangsa. Bagaimana jurulatih luar dapat mengenal dan boleh membuat kenyataan sebegitu sedangkan sebelum ini Kelantan belum pernah beraksi di pentas antarabangsa?

Adakah jurulatih ini benar-benar mengenali PIYA dan kesemua pemain Kelantan yang lain?

Adakah jurulatih ini sentiasa memberi perhatian kepada Kelantan sepanjang beraksi dalam Liga Super Malaysia?

Jadi kita jangan cepat melatah dan jangan cepat merasa hebat dan bangga dengan pujian sebegini. Mungkin ia hanyalah satu bentuk provokasi minda semata-mata.

Apa yang penting sekarang ialah terus memberi fokus untuk perlawanan 23 dan 28 Disember ini untuk memastikan Piala Permai menjadi milik kita.

Divaldo juga turut memuji beberapa pemain Kelantan yang lain termasuk penyerang terbaik Malaysia 2011 iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat.