November 22, 2011

Skuad Negara Jumpa Syria Malam Esok


BUKAN kelebihan sepenuhnya buat Syria apabila bertemu skuad negara pada aksi kedua Kumpulan C saingan Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok. 

Tatkala skuad negara hanya memiliki tempoh 41 jam untuk persiapan sebaik tiba di tanah air, awal pagi tadi selepas berakhir tugasan di temasya Sukan SEA XXVI di Jakarta, Syria sebenarnya turut dibelenggu masalah kecederaan.
Lima tonggak kesebelasan utama ketika menewaskan Bahrain 3-1 pada aksi sulung 21 September lalu - penjaga gol Mahmoud Yousef, Mohamad Afa Al Rifai, Zahir Al Midani, Oday Abd Al Jafal dan Yaser Shushara - tidak berada dalam senarai 24 pemain ke Kuala Lumpur.
“Kami tidak dapat melakukan persiapan sempurna dan kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan. Tapi pemain yang ada tetap menampilkan peningkatan. 

“Dua perlawanan menentang Malaysia (esok) dan Jepun (Ahad) cukup penting untuk menentukan hala tuju dalam kumpulan ini. Apapun, saya yakin pemain yang ada mampu melaksanakan tugas,” kata jurulatih Syria, Immad Khankan. 

Skuad negara bimbingan Ong Kim Swee turut dihimpit masalah kecederaan apabila Izzaq Faris Ramlan, Wan Zaharul Nizam Zakaria dan Syahrul Azwari Ibrahim hampir pasti tidak dapat diturunkan, malam esok. 

Mujur beberapa pemain yang tidak dibawa ke Sukan SEA seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Ahmad Hazwan Bakri, Affize Faisal Mamat, D Saarvindran, Izuan Salahuddin, Ferris Danial Mat Nasir dan Nazirul Naim Che Hashim sedia diturunkan tetapi Gary Steven Robbat masih belum pulih. 

Tiket perlawanan mula dijual hari ini iaitu di Stadium Shah Alam dan Stadium Nasional (9 pagi hingga 7 malam) dengan harga RM40 (grandstand) dan RM20 (terbuka). 

INFO: Jadual Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 

  • Hari ini 
    Bahrain melawan Jepun 
    Stadium Nasional, Riffa 
  • Esok 
    Malaysia melawan Syria 
    Stadium Nasional, Bukit Jalil, 8.45 mlm


  • INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!