Indonesia mara ke pertandingan akhir Piala Suzuki AFF 2010 setelah menang tipis 1-0 ke atas Filipina pada perlawanan saingan separuh akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno di sini Ahad malam.
Dengan itu, Indonesia menewaskan Filipina dengan agregat 2-0 untuk layak ke perlawanan akhir menentang Malaysia, setelah menang 1-0 pada perlawanan saingan separuh akhir pertama Khamis lepas.
Malaysia mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0.
Dari awal permainan hingga separuh masa, Indonesia yang terus menerus menyerang berjaya menjaringkan gol menerusi penyerang utama Indonesia Cristian Gonzales pada minit ke-43.
Filipina yang diperkuat sembilan pemain berasal dari luar negara turut mempamerkan aksi permainan yang baik menahan asakan pasukan Garuda.
Penjaga gol Filipina, Neil Etheridge, yang merupakan penjaga gol ketiga Fulham United di Liga Premier Inggeris, tampil memukau penonton apabila berkali-kali menggagalkan serangan pasukan Indonesia ke gawangnya.
Sokongan lebih 85,000 penonton dan kehadiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyemarakkan pasukan Indonesia untuk menampilkan rentak permainan pantas dan mendahului perlawanan.
Kredit: BERNAMA