November 17, 2011

Skuad Jaring Tunjuk Taring





SELAIN memenangi dua pingat emas, beregu boling lelaki dan wanita negara turut membawa pulang pingat gangsa semalam.


JAKARTA - Skuad boling negara mula menunjukkan taring sebenar apabila membolot pingat emas kategori beregu lelaki dan wanita temasya Sukan SEA 2011 semalam.
Selain membolot dua emas, skuad beregu lelaki dan wanita negara turut membawa pulang pingat gangsa.
Lebih manis, beregu wanita negara berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi gandingan Esther Cheah-Zatil Iman Abdul Ghani dalam kategori tersebut pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.
Untuk rekod, acara boling tidak dipertandingkan pada temasya Sukan SEA 2009 di Vientianne, Laos.
Pada saingan di Pusat Boling Ancol Jaya semalam, penguasaan barisan pemain negara bermula dalam kate- gori beregu wanita yang diadakan di sebelah pagi.
Tampil selaku juara dunia, Jacqueline Sijore yang bergandingan dengan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi nyata terlalu unggul apabila meraih emas dengan mere- kodkan 2,463 jatuhan pin.
Gandingan negara itu meninggalkan pencabar terdekat mereka yang juga beregu Singapura, Daphine Tan-Cherie Tan yang melakukan 2,456 jatuhan pin.
Satu lagi beregu wanita negara, Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon dan Sharon Koh meraih pingat gangsa dengan 2,413 jatuhan pin.
Rentak kecemerlangan pemain-pemain wanita negara diteruskan oleh dua beregu lelaki yang tampil ke gelanggang di sebelah petang.
Gandingan Alex Liew- Adrian Ng membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas dengan melakukan 2,555 jatuhan pin.
Pingat perak menjadi milik gandingan Filipina, Biboy Rivera-Frederick Ong yang merekodkan 2,490 jatuhan pin.
Zulmazran Zulkifli yang bergandingan dengan Muhd. Shafiq Ridhwan tidak pulang tangan kosong apabila merangkul pingat gangsa dengan 2,454 jatuhan pin.
Mengulas kejayaan memenangi pingat emas dalam kategori beregu wanita, Zandra berkata, ia mengubati kekecewaan skuad negara setelah gagal memenangi emas pada hari pembukaan acara tersebut kelmarin.
"Saya pasti menangis jika gagal menang emas hari ini (semalam) setelah Sin Li Jane hanya ketinggalan dua pin dengan pemenang pingat emas kategori individu wanita dari Singapura, Cherie Tan semalam (kelmarin).
"Kejayaan meraih pingat emas hari ini (semalam) sudah pasti member kami semangat untuk terus menambah pingat emas pada Sukan SEA kali ini," kata Zandra.
Jacqueline pula berkata, dia tidak melihat skrin markah sepanjang permainan berlangsung kerana tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.
"Sepanjang permainan memang saya mengelak daripada melihat skrin markah dan saya tidak tahu di mana kedudukan kami. Saya berbuat demikian demi mengelak tekanan.
"Saya hanya fokus dan saya lega akhirnya kami berjaya memastikan emas setelah gagal melakukannya pada hari pertama semalam (kelmarin)," katanya.



INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!