December 24, 2010

Sukan AUG: Kontinjen Malaysia Pulang Bergaya Dengan 37 Emas

Asean_University_Games(Bernama) -- Kejayaan kontinjen negara mencapai pungutan 37 pingat emas pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2010, iaitu melepasi sasaran 24 yang ditetapkan sebelum ini, sememangnya pencapaian yang boleh dibanggakan.

Ketua kontinjen Prof Dr Kasim Md Mansur berkata beliau amat gembira dan berpuas hati dengan pencapaian para atlet negara yang juga merupakan mahasiswa institusi pengajian tinggi di Malaysia.


"Amat gembira dan puas hati. Bukan sahaja dapat pecah rekod pencapaian terbaik di Surabaya, Indonesia iaitu 10 emas, malah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 24 emas. Ini satu kejayaan yang sangat cemerlang," katanya ketika ditemuramah media Malaysia.

Malaysia menutup tirai AUG di Chiang Mai dengan pungutan 37 emas, 36 perak dan 44 gangsa iaitu di tangga ketiga kedudukan pingat.

Tuan rumah Thailand mengungguli temasya dengan 58 emas, 61 perak dan 50 gangsa manakala Indonesia yang mengumpul 46 emas, 51 perak dan 50 gangsa berada di tempat kedua.

Dr Kasim berkata sebab selain komitmen atlet, pengurus pasukan dan jurulatih, kejayaan AUG kali ini juga dibantu oleh kewujudan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) di setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Katanya PKS telah diwujudkan hampir setahun setengah oleh Kementerian Pengajian Tinggi bertujuan meningkatkan kecemerlangan sukan di IPTA.

Selain itu, Dr Kasim, yang juga Timbalan Presiden Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), berkata Masum akan terus menghantar atlet-atlet yang lahir daripada badan itu selain atlet elit di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) ke temasya AUG akan datang.

"Pada kita temasya ini merupakan arena permulaan bagi atlet universiti termasuk atlet elit sebelum mereka mencapai kejayaan yang lebih cemerlang," katanya.

Upacara penutupan AUG berlangsung secara sederhana di Gimnasium Universiti Maejo.

Majlis tersebut yang dihadiri oleh Ketua Setiausaha Pengajian Tinggi Thailand Sumet Yammoon diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan Chiang Mai.

Sumet Yammoon juga menyerahkan bendera kejohanan kepada Ketua Setiausaha Pengajian Tinggi Laos Sangduan La-jantaboon.

Laos akan menjadi tuan rumah AUG edisi ke-16 pada 2012.