November 15, 2011

Skuad Badminton Lelaki Negara Raih Perak


Skuad badminton Malaysia sekadar meraih pingat perak selepas kalah 1-3 kepada pasukan tuan rumah pada aksi final acara berpasukan lelaki Sukan SEA ke-26 di Stadium Istora Senayan di sini hari ini. 

Malaysia menurunkan Liew Darren sebagai perseorangan pertama namun tumpas 20-22, 12-21 kepada Simon Santoso.
Gandingan Lim Khim Wah/Goh Wei Shem menghidupkan kembali peluang Malaysia untuk meraih emas dengan menumpaskan Bona Septano/Ahsan Mohammad 21-18, 15-21, 25-23 namun perseorangan kedua negara, Mohamad Arif Abdul Latif jelas bukan tandingan Tommy Sugiarto apabila kalah 13-21, 17-21.
Gandingan beregu tuan rumah, Hendra Setiawan/Markis Kido menutup terus peluang Malaysia dengan menjinakkan Mak Hee Chun/Ong Soon Hock 21-10, 21-14. 

Satu-satunya gandingan Malaysia yang memenangi satu mata di perlawanan akhir ini, Lim dan Goh berkata walaupun mereka dicemuh penyokong lawan, namun semangat melawan mereka tetap tinggi. 

"Pemain lawan tampak bersemangat dengan sorakan penonton, sedangkan kami seperti tiada penyokong tetapi kekuatan kami ialah kepantasan dan itulah senjata yang membawa mata tunggal Malaysia di final ini," kata Goh. 

Singapura membawa pulang pingat gangsa. 
Kali terakhir Malaysia meraih emas dari acara ini ialah di edisi Korat, Thailand pada 2007. - BERNAMA

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!