November 10, 2011

Pegawai Malaysia Mati di Palembang



HARUN (terbaring) dikejarkan ke hospital selepas diserang sakit jantung di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II, Palembang semalam.

Seorang pegawai kontinjen negara maut selepas diserang sakit jantung ketika menunggu ketibaan atlet negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II di Palembang semalam.
Harun Osman yang bertugas sebagai pembantu kepada ketua kontinjen negara, Datuk Syed Mustaffa Syed Ali tiba-tiba rebah sewaktu menguruskan kemasukan atlet pada pukul 5 petang waktu Palembang (6 petang waktu Malaysia).
Beliau kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).
Insiden itu mengejutkan seluruh kontinjen negara terutama skuad menembak dan sepak takraw negara yang baru tiba beberapa jam sebelum itu.
Syed Mustaffa ketika dihubungi melahirkan rasa sedih dengan kejadian yang tidak dijangka itu kerana Harun kelihatan sihat dan ceria sepanjang berada di Palembang ini.
"Dia seorang yang komited dalam menguruskan ketibaan atlet kita ke Palembang dan kematiannya merupakan satu kehilangan buat kontinjen negara yang sedang sibuk melakukan persiapan terakhir di sini," katanya.
Sehingga ini, katanya, jenazah Harun telah ditempatkan di hospital berkenaan selepas doktor menjalankan bedah siasat ke atas mayatnya.
"Kita menjangkakan jenazah beliau dapat dibawa pulang ke Malaysia esok (hari ini) dengan segala usaha sedang dilakukan untuk melancarkan urusan tersebut," tambah Syed Mustaffa.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!