November 27, 2011

Malaysia Optimis Tumbangkan Bahrain




“KITA mampu tumbangkan Bahrain.”
Demikian keyakinan yang disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah semalam.
Baginda optimis skuad Harimau Muda mampu menumbangkan Bahrain pada aksi Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 peringkat Zon Asia di Stadium; Nasional Bukit Jalil malam ini.
Baginda bertitah, perlawanan tersebut boleh dianggap peluang terbaik bagi skuad kendalian Ong Kim Swee itu membuktikan kebolehan mereka selepas tumpas 0-2 kepada Syria, Rabu lalu.
“Saya yakin kita boleh menang. Ketika kita berdepan Syria baru-baru ini, pemain negara baru balik (dari Jakarta), mereka keletihan setelah bertungkus lumus mempertahankan pingat emas Sukan SEA.
“Dengan Bahrain, kita betul-betul bersedia. Saya dah cakap dengan jurulatih (Ong Kim Swee), beliau maklumkan ada seorang dua yang tak dapat bermain kerana kecederaan, yang lain semua bersedia diturunkan,” titah baginda selepas Majlis Persembahan Anugerah Pemimpin Unggul kepada baginda di Kuantan semalam.
Titah baginda, bagi memastikan kemenangan dalam genggaman Malaysia, para pemain perlu bijak menyambar peluang ketika berada di hadapan gawang lawan.
“Saya juga ingin mengingatkan mereka supaya memperbaiki aspek hantaran di samping tidak boleh menyimpan bola terlalu lama.
“Era sekarang tak main macam 30, 40 tahun dulu, boleh gelecek sana sini tapi sekarang dapat saja bola, tengok kawan untuk lancarkan serangan.
“Masa lawan Indonesia tempoh hari, kita patut boleh jaring gol lebih daripada satu. Kita terlepas peluang. Esok (hari ini) jangan lepaskan peluang yang ada,” titah baginda.
Baginda juga kagum dan bangga dengan sokongan yang telah diberikan oleh penyokong skuad negara yang tetap berdiri teguh di belakang skuad muda negara itu meskipun tewas pada aksi menentang Syria Rabu lalu.
“Itulah semangat yang saya mahukan daripada penonton. Walaupun Malaysia kalah, penonton tetap berdiri teguh di belakang pemain kita. Sokongan seperti itu akan melonjakkan semangat pemain kita,” titah baginda.
“Saya sendiri punyai keyakinan tinggi kepada skuad bawah 23 negara ini kerana mereka mempunyai dedikasi dan attitude (sikap) positif.
“Masa final Sukan SEA, saya di Jakarta, saya minta mereka bermain bermati-matian dan Alhamdulillah mereka buktikan.
Itu mustahak, kalau main sahaja tak ada atitude, tak ada disiplin, kita tak boleh maju,” titah baginda. -Kosmo


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!