November 22, 2011

Harimau Baham Garuda Di Bumi Indonesia!



KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Muda berjaya membuktikan kehebatan apabila membaham laskar Garuda pada final bola sepak Sukan SEA sekaligus menghadiahkan pingat emas kepada seluruh peminat bola sepak tanahair.
Disifatkan sebagai ibu segala pingat emas, ia memperlihatkan pasukan Malaysia bermain sepenuh jiwa dan raga untuk negara.
Meskipun dihujani dengan pelbagai provokasi dari penyokong-penyokong serta media tuan rumah, skuad Harimau Muda bimbingan jurulatih kebangsaan, Ong Kim Swee, tetap gagah untuk berjuang sehingga ke saat akhir perlawanan yang penuh mendebarkan.
Bermula dengan jaringan awal pada minit ke-5 oleh pemain pertahanan Indonesia, Gunawan Dwi Cahyo, stadium Bung Karno yang dibanjiri lebih 100,000 orang penyokong fanatik negara jiran gamat berpesta meraikan gol tersebut.
Bagaimanapun, sorakan tersebut berjaya ‘dibisukan’ apabila lebih kurang 20 minit kemudiaannya, pemain tengah skuad Harimau Muda, Mohd Asraruddin Putra Omar, bertindak membenamkan diri untuk menanduk masuk gol penyamaan mengikat kedudukan perlawanan kepada 1-1.
Keputusan kekal kepada Malaysia dan Indonesia terikat dengan jaringan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula separuh masa kedua, perlawanan akhir merebut pingat emas Sukan SEA itu menjadi semakin sengit menyaksikan kedua-dua pasukan bertali arus mengatur serangan demi serangan.
Meskipun ditekan dengan permainan kasar dan ‘tackle’ keras yang dilakukan pemain Indonesia, Harimau Muda tetap konsisten dengan mempamerkan gerakan-gerakan merbahaya yang mencemaskan pintu gol lawan.
Namun, kedudukan 1-1 kekal sehingga pengadil meniup wisel penamat.
Penuh debaran, perlawanan dramatik tersebut diheret ke pertarungan masa tambahan yang kemudiaanya menyaksikan kedua-dua pasukan menjaringkan gol, namun dibatalkan atas kedudukan pemain yang berada dalam posisi “offside”.
Menyaksikan perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti, sudah tentu ia mampu menyebabkan ramai peminat sukan bola sepak negara menjadi sesak nafas.
Penyerang berbisa kelahiran Papua, Titus Bonai memulakan tendangan sepakan penalti bagi skuad Garuda berjaya menghasilkan gol pertama, namun jaringan tersebut berjaya dineutralkan oleh Mahali Jazli yang berjaya menewaskan penjaga gol negara jiran itu, Kurnia Miega.
Ratusan ribu penyokong skuad Garuda sekali lagi ‘dibisukan’ apabila sepakan penalti penjaring gol pertama perlawanan, Gunawan Dwi Cahyo, terkena tiang dan gagal menghasilkan gol, manakala pemain nombor 17 negara, Fandi Osman, berjaya menjaringkan gol menjadikan kedudukan kepada 1-2.
Bagaimanapun, skuad Indonesia menarik nafas lega apabila sepakan pemain tengah Harimau Muda, Fakri Shaarani berjaya diselamatkan Miega dan Egi Megiansyah berjaya menewaskan penjaga gawang gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.
Ketika kedudukan terikat 3-3, suasana stadium Bung Karno kembali mendebarkan degupan jantung setiap penonton yang keresahan menantikan kesudahan perlawanan penuh dramatik ini.
Sepakan penalti ke-empat bagi skuad Garuda dan Harimau Muda yang diambil oleh Ferdinand Sinaga dan Fazli Shas yang menggegarkan jaring memanaskan lagi kemuncak perlawanan yang penuh dramatik tersebut, menjadikan kedudukan terikat pada 4-4.
Sepakan penalti terakhir bagi kedua-dua pasukan sudah tentu memaksa semua penonton memberikan fokus 100 peratus di atas padang.
Bagaikan wira terbilang, Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apex sewajarnya diberikan setinggi-tinggi pujian apabila tangkas menangkis sepakan penalti Ferdinand.
Penyokong-penyokong skuad Garuda terpaku, kelu dan bisu, ada yang tertunduk hampir menangis.
Melengkapkan langkah bergaya skuad Harimau Muda membaham Garuda, Baddrol Bakhtiar menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua pasukan skuad bola sepak negara melepaskan sepakan padu, meskipun berjaya ditangkis sedikit oleh Miega, akhirnya bola tersebut tergolek masuk ke gawang gol Indonesia.
Kemenangan tersebut melebarkan jumlah pungutan pingat emas negara di dalam Sukan SEA sebanyak enam kali sekaligus mempertahankan pingat emas yang dimenangi skuad bola sepak negara pada kejohanan yang lalu di Laos pada tahun 2009.
Skuad Harimau Muda dijadualkan berangkat pulang kembali ke tanahair malam ini juga dan dijangka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pukul 3.30 pagi ini.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!