November 12, 2011

Awas Kemboja- Apek


“JANGAN dabik dada dengan kemenangan ke atas Thailand.” Itu pesan penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara, Khairul Fahmi Che Mat yang merasakan kedudukan mereka masih belum selamat walaupun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan kempen Kumpulan A di Jakarta. 

Baginya, semua pemain perlu melupakan kejayaan menundukkan juara 13 kali, Thailand dan keputusan seri 0-0 dengan satu lagi pasukan pilihan, Singapura, sebaliknya terus fokus kepada perlawanan menentang Kemboja esok.
Khairul Fahmi, 22, berkata sikap memandang rendah keupayaan Kemboja hanya akan mengundang padah. “Semua pasukan masih ada peluang, kita tidak boleh bermegah dan berpuas hati dengan kejayaan menewaskan Thailand.
“Masih ada dua perlawanan penting untuk kami hadapi jadi segala kelemahan yang ada perlu diperbaiki segera,” kata Khairul Fahmi atau Apek yang beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya ketika bertemu Singapura dan Thailand. 

Dia mahu setiap pemain berwaspada menentang Kemboja yang mahu memburu kemenangan selepas tumpas kepada Indonesia (6-0) dan Singapura (2-1). 

“Kemboja belum mengutip sebarang mata lagi, jadi mereka mesti akan berjuang habis-habisan, kami harus berjaga-jaga,” katanya. 

Jika menang, esok Malaysia sah layak ke separuh akhir kejohanan dan akan menentang tuan rumah, Indonesia untuk menentukan status juara kumpulan Khamis depan. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!