February 17, 2011

The Reds Warriors & Tiga Abdul

(D5) - Biarpun selesa menguasai takhta liga dengan memiliki 10 mata, namun Kelantan tidak seharusnya mengambil mudah perlawanan menentang T-Team pada saingan pembukaan Piala FA yang bakal berlangsung 18 Februari ini.

Menarik pada pertemuan tersebut, Kelantan bakal turun buat kali pertama untuk berdepan dengan bekas trionya Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose dan Mohd. Norfarhan Muhammad.

Pun begitu, Red Warriors di bawah pimpinan Datuk M. Karathu nampaknya semakin serasi dengan pemain baru yang dibawa masuk seperti Danial Fadzly Abdullah, Solihin Kanasian, Nurul Azwan Roya dan Aziz Ismail.

Malah barisan baru itu telah membuktikan mereka mampu beraksi baik selepas membantu Kelantan mengekalkan rekod tanpa kalah bagi musim ini. Terbaru mereka berjaya menundukkan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, Selasa lalu.

Pada perlawanan menentang T-Team nanti, Norshahrul Idlan Talaha seperti biasa akan menjadi sandaran utama selain Badri Radzi turut diberi peranan untuk menggalas tugas merencana pergerakan pasukannya.

Bagi T-Team yang memiliki ramai tonggak berpengalaman boleh dianggap masih lagi berada dibawah prestasi sebenar. Mereka harus memperkuatkan lagi barisan bagi mencari kemenangan pertama dalam saingan musim ini.

Dalam rekod Liga Super 2011, mereka masih gagal mencapai sebarang kemenangan selepas empat perlawanan dan hanya mampu mengutip satu mata ketika perlawanan sulung menentang Kedah.

Kekalahan kepada Pahang (0-1) di Stadium Darul Makmur baru-baru ini, jelas menambahkan lagi tanggapan buruk peminat lebih-lebih lagi T-Team dibarisi pemain berpengalaman.

Kepada seluruh peminat, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan Siaran Langsung perlawanan Piala FA 2011 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin Shah diantara Kelantan menentang T-TEAM pada jumaat ini, jam 8:00 malam.

p/s: berita ni diperolehi dari ASTRO ARENA...sy ubah tjuk biar kasi gempak ckit...