February 19, 2011

Kelantan Bernasib Baik, Harimau Muda A Gah

Perlawanan pembukaan Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin Shah nyata memihak kepada Kelantan selepas menang keatas Terengganu T-Team 6-5 menerusi sepakan penalti.

Penalti menjadi penentuan pada perlawanan itu apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga masa penamat, sebelum pemburuan gol kemenangan pada 30 minit masa tambahan turut tidak berhasil.

Pada 90 minit perlawanan berlangsung, Kelantan di bawah pimpinan Datuk M. Karathu terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi pemain Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang menanduk masuk hasil sepakan sudut pada minit ke-50.

Di minit ke-60 perlawanan pula, pemain T-Team yang juga bekas pemain Kelantan pada musim lalu, Indra Putra Mahayuddin berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan cantik. Dua minit kemudian, T-Team sekali lagi memperoleh peluang menerusi Indra, namun pemain itu gagal menyempurnakan selepas tandukan lemahnya mudah diselamatkan Khairul Fahmi.

Kelantan pula turut mempunyai peluang keemasan pada minit terakhir pemainan apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti. Tetapi ia dipersia-siakan oleh Norshahrul Idlan Talaha selepas sepakan yang diambilnya melambung tinggi.

Selain Indra, pemain Azizi Mat Rose dan Mohd. Norfarhan Muhammad yang membarisi skuad Kelantan musim lalu bermain cemerlang pada malam ini.

T-Team yang masih lagi tidak memperoleh kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini dilihat mempamerkan prestasi sebenar pada malam ini, meskipun tewas kepada Kelantan.

Harimau Muda A memulakan perlawanan pertama saingan Piala FA 2011 dengan kemenangan bergaya menewaskan pasukan SDM Navy 4-0 di Stadium Shah Alam malam ini.

Tanpa menurunkan beberapa pemain harapan, Harimau Muda A yang akan menyertai kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan Rabu nanti, nyata menguasai perlawanan apabila terlebih dahulu memperolehi gol melalui lorongan masuk bola K.Ravindran pada minit ke-10 untuk menewaskan penjaga gawang SDM Navy, Safril Hafizzie.

Pasukan tuan rumah di bawah bimbingan Ong Kim Swee terus mengasak gawang gol dan memperoleh jaringan kedua pada minit ke-37 menerusi sepakan sudut yang dijaringkan oleh Mohd Amer Saidin melalui rembatan jarak dekat.

Selepas rehat, skuad yang beraksi dalam Liga Super itu menggandakan asakan dan menambah penderitaan SDM Navy apabila dua lagi jaringan menerusi Ravindran (min-48) dan Muhd Ferris Danial (min-77).

Tertekan dengan kedudukan tersebut, SDM Navy cuba bangkit namun gagal memperoleh sebarang jaringan hingga tamat perlawanan.