February 17, 2011

Arsenal Bangkit Tewaskan Barcelona

Arsenal_vs_BarcelonaUEFA Champions League antara Arsenal menentang Barcelona di Stadium Emirates yang berlangsung malam tadi berakhir dengan keputusan Arsenal menang 2-1. Kedua-dua pasukan bermain dengan baik, namun jaringan David Villa pada separuh masa pertama tidak menghalang Arsenal untuk bangkit semula.

Arsene Wenger merasa lega sebelum sepak mula apabila menerima perkhabaran bahawa Nasri dan Arshavin dapat diiturunkan selepas diyakini cergas untuk bermain. Barcelona pula menurunkan tiga pemain terbaiknya bagi memastikan mereka terus memberi tekanan yang berat ke atas The Gunners untuk memenangi perlawanan tersebut. Arsenal juga turut menurunkan trio terbaik mereka, Fabregas, Persie dan Arshavin sebagai senjata untuk merobek gawang kelab gergasi Sepanyol itu.

Perlawanan berlangsung dengan sengit apabila kedua-dua pasukan masing-masing berbalas serangan bagi mendapatkan gol awal. Namun, sebelum tamat separuh masa pertama, Barcelona berjaya mendahului dengan jaringan penyerang sensasi mereka, David Villa, selepas mendapat lorongan cantik daripada Messi. Peluang yang terhidang disempurnakan oleh David Villa apabila tiada seorang pun pemain pertahanan Arsenal mengawalnya ketika itu.

Pada separuh masa kedua, Arsenal bermula dengan nafas baru apabila kerap melakukan beberapa percubaan berbahaya melalui kapten mereka Fabregas dan juga penyerang mereka, Persie.

Hasil hantaran cantik daripada Gael Clichy kepada Robin van Persie nyata tidak di sia-siakan penyerang Belanda itu. Persie menghampiri gawang gol dan melepaskan rembatan cantik dari kanan gawang. Walaupun kedudukan Persie pada ketika itu dilihat agak sukar untuknya menjaringkan gol, namun pengalaman membatasi segalanya dan Persie berjaya membolosi gawang Barcelona tanpa ada sebarang halangan daripada Valdes.

Selepas berbalas serangan, akhirnya pada minit ke-83, satu lagi gol berjaya dicipta oleh Arsenal kali ini melalui Arshavin. Iannya bermula apabila Wilshere berjaya melorongkan bola kepada Fabregas yang kemudiannya melorongkannya kepada Nasri. Nasri yang sebelum ini mengalami kecederaan nyata cergas dalam perlawanan ini apabila dengan pantas melorong bola itu kepada Arshavin. Arshavin nyata tidak mempersiakan peluang yang ada terus membuat sepakan lencong yang berjaya menewaskan Victo Valdes untuk gol kedua Arsenal.

Walaupun menang 2-1, Arsenal masih lagi tidak mahu bercakap besar kerana perlawanan selepas ini mungkin amat sukar buat mereka kerana Barcelona merupakan pasukan yang begitu kuat apabila bermain di gelanggang sendiri ditambah pula dengan sokongan padu dari peminat yang hadir ke Nou Camp nanti.