TEVEZ menjadi buruan pemberita sebaik tiba di Buenos Aires, Argentina kelmarin.
Penyerang Argentina, Carlos Tevez bertindak mengunci mulutnya sebaik tiba ke tanah air kelmarin.
Pemain berusia 27 tahun itu menolak sebarang soalan yang diajukan pemberita mengenai masa depannya bersama kelab Liga Perdana England, Manchester City.
Ketika ini, Tevez sedang menjalani penggantungan yang dikenakan City sejak minggu lalu kerana keengganannya turun beraksi pada aksi menentang Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, Tevez tidak tersenarai dalam skuad Argentina bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Chile pada Jumaat ini tetapi tetap pulang ke negaranya untuk berehat.
Sementara itu, Real Madrid dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Tevez dan sanggup mempertaruhkan Sami Khedira sebagai pertukaran.
Khedira dikatakan menjadi idaman City untuk menggantikan Yaya Toure di bahagian tengah. Yaya diperlukan negaranya, Ivory Coast untuk Piala Negara Afrika, Januari nanti.
Turut memburu Khedira adalah Chelsea dan AC Milan selepas pemain dari Jerman ini dikatakan mempunyai hubungan dingin dengan jurulatih, Jose Mourinho.
Mourinho mengkritik corak permainan Khedira sejak awal musim ini.
INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!