October 3, 2011

Rekod Yang Menakjubkan: Ferguson



ANDERSON (kanan) menjaringkan gol pertama United ketika menewaskan Norwich City 2-0 kelmarin.

Alex Ferguson memuji persembahan para pemain Manchester United selepas kelab itu mencipta rekod baharu dalam saingan Liga Perdana England.
Skuad The Red Devils melakar sejarah apabila mencatat kemenangan ke-19 berturut-turut pada aksi di gelanggang sendiri selepas menewaskan Norwich City 2-0 kelmarin.
Dua jaringan masing-masing satu menerusi Anderson pada minit ke-68 dan Danny Welbeck (ke-87) sudah cukup untuk membantu United mencipta rekod baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga musim ini.
Bagi Ferguson, pencapaian itu cukup membanggakan dan mereka semua wajar diberikan pujian di atas kesungguhan yang dipamerkan bagi mencipta rekod baharu.
"Rekod yang dicipta itu adalah suatu yang menakjubkan. Pemain-pemain wajar diberikan pujian untuk itu.
"Para pemain telah menunjukkan kualiti yang mereka miliki, kesungguhan serta keazaman untuk kekal tanpa kalah pada perlawanan di tempat sendiri.
"Kami (United) tidak pernah berputus asa dan itu kualiti yang menakjubkan kami miliki," kata Ferguson.
Dengan saingan akan berehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada aksi di pentas antarabangsa, skuad The Red Devils akan menyambung semula misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga musim ini berdepan Liverpool di Anfield pada 15 Oktober.
Meskipun mengakui masih ada beberapa kelemahan yang perlu dibaiki sebelum berkunjung ke Anfield, Ferguson percaya aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika menewaskan Norwich telah membuktikan yang mereka kini pada landasan terbaik.
"Kamu tidak boleh katakan bahawa ia merupakan persembahan terbaik kami ketika menentang Norwich itu. Ia pasti akan mengambil masa untuk melakukan seperti mana yang kami mahukan.
"Ia sentiasa akan menjadi sukar apabila sesebuah pasukan itu mengamalkan corak permainan secara bertahan seperti yang dilakukan Norwich.
"Norwich sentiasa membuatkan kami berada dalam keadaan tertekan namun kami berjaya mengatasinya. Ia adalah suatu yang baik apabila berjaya memenangi perlawanan ketika kamu tidak berada pada prestasi terbaik," jelas Ferguson.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!