ADRIANO (tengah) meledak gol kemenangan Barca pada aksi menentang Sporting Gijon awal pagi semalam, manakala Higuain (kanan) meledak hatrik untuk membantu Real membelasah Espanyol 4-0.
Juara bertahan, Barcelona kembali mengamuk. Mereka kini merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Sepanyol selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sporting Gijon di Stadium El Molinon awal pagi semalam.
Perancang antarabangsa Brazil, Adriano muncul wira Barcelona apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-12.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Barcelona kini mendahului carta liga namun berkongsi 14 mata dengan Levante yang menduduki tangga kedua.
Skuad The Catalan membuktikan betapa mereka layak menerajui carta liga dengan perbezaan jumlah jaringan.
Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola yang diminta mengulas mengenai pertemuan menentang Sporting itu berkata: “Kami (Barcelona) berdepan dengan sebuah pasukan yang kuat.”
“Selepas kami beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara ia pasti akan menjadi satu perlawanan sukar buat kami. Namun, saya merasakan kami telah melakukan yang terbaik pada babak pertama dan mengekalkanya sehingga tamat perlawanan,” kata Guardiola.
Menurutnya, jika mereka terus kekal dengan rentak cemerlang seperti itu, tidak mustahil gelaran liga musim ini akan terus berada dalam dakapan mereka.
Dalam satu lagi perlawanan, Gonzalo Higuain membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya apabila meledak hatrik bagi membantu Real Madrid menewaskan Espanyol 4-0.
Apa yang dibuktikan oleh Higuan pada perlawanan tersebut telah menutup mulut pengkritiknya sebelum ini yang menganggapnya sebagai pemain yang tidak memiliki kualiti.
Higuain menjadi bahan kritikan penyokong-penyokong setia Real sejak tiga musim lalu selepas sering kali bergelut dengan masalah kecederaan.
Dia hanya kembali dalam skuad utama Real pada awal saingan musim ini.
Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Real melonjak ke tangga ketiga carta liga dengan mengumpul 13 mata, satu mata di belakang pendahulu, Barcelona dan Levante di tangga kedua.
INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!