June 10, 2011

The Red Warriors | Tidak Akan Gadai Maruah

Khabar angin bertiup kencang Red Warriors akan serah mahkota Piala FA kepada Terengganu

“KAMI tidak akan menggadaikan maruah.” Itulah tekad dilaungkan skuad Kelantan ketika ada khabar angin bertiup kencang menyebut skuad Red Warriors itu akan menyerahkan mahkota kejuaraan Piala FA kepada pasukan tetangga, Terengganu dalam final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Menjelang bahang saingan membabitkan dua finalis dari pantai Timur buat julung kali ada ura-ura bahawa anak didik DatukM Karathu mahu memberi trofi berkenaan kepada lawan dengan sifat yakin gelaran Liga Super akan menjadi milik mereka, musim ini.

Tambah menarik ‘seperti ada komplot’ untuk berkongsi gelaran secara seimbang bagi mengekalkan kuasa bola sepak di sebelah timur semenanjung.

Apa pun, pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata mereka tidak akan mensia-siakan perjuangan selama ini untuk mara ke final sebaliknya mendakwa khabar angin itu dicipta bagi melemahkan semangat Red Warriors merangkul Piala FA buat julung kali.

“Kami tidak akan menggadaikan maruah pasukan. Ini sudah pasti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, malam semalam.

“Kita dapat lihat semua pemain tiba-tiba bersemangat luar biasa dan menunjukkan komitmen baik ketika sesi latihan. Ini menunjukkan mereka begitu mahukan kemenangan.”

Azman berkata, Karathu sedang bekerja keras melatih dan memilih pemain terbaik bakal disenaraikan sebagai kesebelasan utama dan segala usaha ditunjukkan itu adalah mustahil Kelantan akan menyerah dengan mudah.

Katanya, kemenangan ke atas Terengganu Isnin lalu dalam saingan Liga Super memberi keyakinan kepada pemain untuk beraksi di final Piala FA, namun tetap diingatkan tidak memandang mudah kemampuan pihak lawan.

“Semua pihak bekerja keras dalam memastikan usaha yang dilakukan membuahkan hasil pada hari perlawanan dan ini bukti kami tidak main-main untuk mengejar kejayaan,” katanya


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!