June 2, 2011

Harimau Malaya | Tiada Masa Rehat


TIADA lagi masa bersantai buat skuad Olimpik negara, sebaliknya mereka kini perlu memusatkan semula perhatian kepada misi penuh getir berdepan Lubnan pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Beirut, 19 Jun ini.

Selepas anak buah jurulatih Ong Kim Swee itu diberikan rehat selama tiga hari di Port Dickson, kesemua pemain yang mula menjalani latihan kelmarin tampak segar semula umpama bebas daripada kepenatan mengharungi jadual perlawanan padat Liga Super.

Penolong jurulatih, Hassan Sazali, berkata pemain memperlihatkan tanda positif apabila kembali berlatih dan suasana yang wujud dalam kem bakal memberikan impak dalam persembahan skuad muda itu selepas ini.
“Selama berada di Port Dickson kami tidak melakukan sebarang latihan, sebaliknya hanya melakukan aktiviti santai namun kami selitkan juga program motivasi untuk memupuk semangat berpasukan.

“Pendekatan yang digunakan ini adalah untuk pemain-pemain melupakan seketika bola sepak sambil merehatkan diri selepas mengharungi banyak perlawanan Liga Super sebelum ini. Tapi mereka perlu kembali fokus kepada persiapan Olimpik apabila mula menjalani latihan,” katanya yang mengambil alih tugas sementara Kim Swee berada di Istanbul untuk menyaksikan perlawanan antara Lubnan dan Turki.

Skuad Olimpik negara yang layak ke pusingan kedua kelayakan Olimpik selepas menewaskan Pakistan menerusi agregat 2-0 Mac lalu memulakan persiapan dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik kemboja di Phnom Penh Selasa depan sebelum bertolak ke Doha pada 11 Jun untuk menguji skuad Olimpik Qatar.


Selepas itu mereka akan bertandang ke Beirut bagi aksi pertama sebelum beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi perlawanan kedua pada 23 Jun depan.

Hassan berkata, peningkatan prestasi yang dipamerkan skuad Harimau Muda A dalam saingan Liga Super menyuntik keyakinan bahawa barisan pemain yang dikumpulkan dalam skuad Olimpik kali ini adalah yang terbaik.

Bagi sesi latihan pusat kali ini, seramai 26 pemain dikumpul termasuk enam pemain luar iaitu kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohamad Faizal Abu Bakar, Fandi Ahmad dan Ahmad Shakir Ali.

Bagaimanapun, skuad itu dibelenggu dengan masalah kecederaan menyebabkan kedudukan Fandi, Syahrul Azwari Ibrahim dan Nazirul Naim Cher Mat terjejas.

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!
ARE YOU THE 'MOST WANTED?'
MAROON 5 GRABS HTC!