June 3, 2011

Harimau Malaya | Jentera Penggempur Paling Bisa

Empat penyerang beri Rajagobal banyak pilihan gegar Hong Kong

JENTERA depan Harimau Malaya pilihan ketua jurulatih, K Rajagobal menjelang pertemuan persahabatan dengan Hong Kong malam ini, dianggap antara yang paling meyakinkan dengan kehadiran penyerang terbaik negara masa kini.

Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Hadi Yahya dan Shahrizal Saad memberi Rajagobal lebih pilihan untuk mencorak strategi memecah kubu pertahanan Hong Kong selepas kemenangan 2-0 dicatat di Stadium Shah Alam, Februari lalu.

“Saya akui kali ini kita ada lebih pilihan di barisan depan, dan ia menjadi taruhan terbaik untuk memburu gol awal,” kata Rajagobal pada sesi latihan terakhir di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin. “Saya mungkin mencorak strategi berbeza pada perlawanan itu nanti, bergantung kepada kesediaan pemain.”

Bagaimanapun pada perlawanan sebelum ini, skuad kendalian Tsang Wai Chung itu sukar menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas lembap menyebabkan anak buahnya lambat mendapat rentak perlawanan sebenar.

Ternyata Wai Chung bersungguh-sungguh mahu menebus aib di Shah Alam apabila pada sidang akhbar selepas perlawanan malam itu, terus mengesahkan akan melayan kunjungan skuad Rajagobal di Hong Kong hari ini.

Dengan barisan depan, disokong jentera tengah diterajui kapten, Safiq Rahim, Baddrol Bakhtiar, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal, Harimau Malaya mampu mengecewakan barisan Wai Chung sekali lagi dan terpulang kepada kubu terakhir Rajagobal untuk memastikan rekod bersih berterusan.

Pada perlawanan pertama sebelum ini, Khairul Fahmi Che Mat ternyata kebal dan kini tugas berkenaan dipikul Sharbinee Allawee atau Syed Adney Hussein untuk meneruskan kecemerlangan Fahmi yang tidak disenaraikan kerana dilepaskan bagi persiapan skuad Olimpik.

Dalam perlawanan di Shah Alam, jaringan Safiq pada minit ke-44 dan Amirulhadi (m-90) serta aksi tangkas Fahmi yang menyelamatkan dua rembatan deras penyerang prolifik Hong Kong, Ye Jia pada minit ke-48 dan 52, memberikan kemenangan buat Harimau Malaya yang masih segar menjuarai Piala AFF Suzuki, sebelum itu.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!