February 2, 2011

N9 di kedudukan atas Liga Super

(Bernama) - Negeri Sembilan menempatkan diri di kedudukan teratas Liga Super setelah menewaskan T-Team, 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam ini.

Negeri Sembilan memperolehi gol menerusi jaringan Idris Karim pada minit ke-23 dan 67 dan Mohd Firdaus Azizul pada minit ke-53, untuk membolehkan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan yang dilalui.

Gol saguhati T-Team dijaringkan oleh ketua pasukan, Rusdi Talib pada minit ke-41.

Pendatang baru, Harimau Muda A turut mencatatkan kemenangan bergaya 3-1 apabila menewaskan Pahang di Stadium Shah Alam.

Pahang yang bermula garang berjaya mendapat gol pertama perlawanan seawal minit ke-2 oleh Famirul Asraf Sayuti namun Harimau Muda A yang tidak berputus asa bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-50.

Izzaq sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-62, dan satu sepakan penalti yang diambil oleh Fandi Othman pada minit ke-88 melengkapkan kemenangan Harimau Muda A.

Kelantan pula mengekori di tempat kedua Liga Super dengan empat mata apabila sekadar seri 1-1 dengan Terengganu di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.

Juara bertahan Liga Super musim lepas, Selangor pula berjaya mencatat keputusan 2-0 apabila berkunjung ke Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis.

Gol-gol pasukan di bawah bimbingan jurulatih K. Devan itu dijaringkan oleh penyerang sensasi skuad negara, Mohd Safee Mohd Sali pada minit ke-62 dan Mohd Fitri Shazwan Raduwan pada minit ke-76.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur berjaya mencipta kemenangan pertama apabila menewaskan naib juara Liga Perdana, Sabah 1-0 dengan gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Yong Kwong Yong pada minit ke-54.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pula, sepakan penalti yang diambil oleh Badrol Bakhtiar pada minit ke-61 membolehkan pasukan Kedah menumpaskan juara Liga Perdana musim lalu, Felda United 1-0.

Di Stadium Perak, Ipoh tuan rumah Perak menumpaskan Johor FC 1-0, dengan gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Akmal Rizal pada akhir minit ke-90 sebelum wisel penamat ditiupkan.

Sementara itu dalam satu perlawanan Liga Perdana, Harimau Muda B menumpaskan SDM Navy 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.