December 15, 2010

Persiapan Skuad Malaysia AFF Suzuki Cup 2010 Separuh Akhir

Walaupun skuad Vietnam dikatakan pincang tanpa empat tonggak utama pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di sini Rabu, jurulatih kebangsaan K Rajagobal mengingatkan anak buahnya agar sentiasa fokus dan berwaspada dengan corak permainan pantas lawan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 8 malam manakala perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu.

Vietnam kehilangan khidmat dua pemain pertahanan, Doan Viet Cuong dan Hyun Quang Thant serta pemain tengah, Phan Van Tai Em akibat kecederaan sementara Nguyen Trong Hoang yang menjaringkan dua gol setakat ini pula masih menghadapi tindakan penggantungan.

Malaysia layak ke separuh akhir bertemu Vietnam setelah muncul naib johan Kumpulan A di Jakarta manakala Indonesia selaku juara Kumpulan A akan menentang naib johan Kumpulan B Filipina dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. Rajagobal berkata walaupun corak pemain Vietnam pantas dan bertenaga namun beliau mengingatkan anak buahnya agar menyaingi kepantasan lawan.

Barisan Kemungkinan Malaysia:
Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Sabri Mat Abu, Mohd Faizal Muhammad, Safiq Rahim, Mahalli Jasuli, Mohammad Muslim Ahmad, Amar Rohidan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Mohd Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Amri Yahyah.