December 16, 2010

Malaysia 2-0 Vietnam



Kemenangan selesa 2-0 ke atas Vietnam pada separuh akhir pertama merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan buat pasukan bola sepak negara kita. Beraksi di laman sendiri merupakan satu kelebihan buat kita dan kita telah menggunakan peluang itu dengan sebaik mungkin. Apa yang diharapkan sekarang ialah kita akan dapat meneruskan prestasi cemerlang ini apabila bertandang ke Hanoi untuk pusingan yang kedua.

Tidak dinafikan kejayaan menewaskan Vietnam pada kali ini merupakan satu kelebihan buat kita. Namun begitu kita tidak boleh merasa begitu selesa dengan membawa jaringan 2-0 ke Hanoi. Kita tahu bahawa Vietnam kini menghadapi beberapa masalah ekoran kecederaan beberapa pemain tonggak mereka. Namun ini tidak menjadi penghalang bagi mereka dalam usaha untuk cuba menyekat kemaraan Malaysia ke final.

Berdasar kepada perlawanan semalam, hanya pada separuh masa kedua sahaja Malaysia mampu untuk menghasilkan jaringan hasil tandukan dan rembatan penyerang Malaysia Safee Sali. Kelibat Syafiq Rahim juga banya membantu pasukan dalam usaha menewaskan Vietnam semalam.

Kita tidak nafikan bahawa Malaysia bermain dengan cemerlang pada perlawanan semalam. Namun begitu masih ada beberapa kelemahan yang harus kita perbaiki sekiranya kita ingin melakar kejayaan di Hanoi. Berdasar kepada pemerhatian saya dalam perlawanan malam tadi, pemain terbaik pilihan saya semestinya Khairul Fahmi (GK). Walaupun ramai yang memilih Safee Sali kerana berjaya menjaringkan dua gol, namun ketangkasan Khairul Fahmi menambat hati saya untuk menobatkannya sebagai pemain terbaik. Banyak percubaan yang berbahaya dari Vietnam berjaya diselamatkan oleh GK Malaysia itu. Selaku penjaga gol terbaik dalam kempen Liga Super, Khairul menggunakan segala pengalamannya bagi memastikan gawang negara tidak dibolosi oleh Vietnam.

Pertahanan Malaysia juga mempunyai banyak peningkatan apabila dapat menyekat serangan pantas dari penyerang Vietnam. Saya lihat penyerang Vietnam jarang sekali membawa bola masuk ke dalam kotak penalti Malaysia. Mereka banyak membuat rembatan dari luar kotak penalti sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa penyerang Vietnam tahu bahawa mereka tidak akan berjaya membuat jaringan dengan membawa masuk bola ke kawasan kotak penalti Malaysia kerana pertahanan Malysia yang begitu kental.

Namun apa yang sedikit mendatangkan keresahan saya ialah kelibat Amirul Hadi yang menjadi pemain sayap di bahagian kanan. Saya tidak nafikan Amirul Hadi merupakan seorang pemain yang rajin dan laju, namun pada perlawanan malam tadi, dia seolah-olah hilang punca apabila melakukan banyak kesilapan. Kebanyakan pemain Vietnam melakukan serangan dari bahagian kanan pintu gol Malaysia. Mereka jarang melakukan gerakan di sebelah kiri yang di kawal oleh Kunalan. Hal ini nampak jelas bahawa Vietnam nampak kelemahan Amirul Hadi berbanding dengan Kunalan yang begitu kebal mempertahankan kawasan Malaysia daripada di tembusi oleh pihak lawan.

Manakala kelibat penyerang seperti Safee Sali dan Norshahrul sememangnya banyak membantu dalam memastikan pertahanan Vietnam tidak senang duduk. Mereka berdua sememangnya layak berganding dan mempunyai kesefahaman yang amat baik.

Ini adalah pandangan peribadi saya sahaja. Sekiranya anda tidak bersetuju dan mempunyai pandangan anda sendiri, anda boleh meluahkan pandangan anda di bahagian komentar. Walau bagaimanapun, saya yakin Malaysia akan mampu menyerap segala tekanan yang bakal dilalui di Vietnam dan seterusnya berjaya melangkah ke final dan seterusnya berjaya membawa Piala AFF Suzuki ke Malaysia.