December 14, 2010

Pembangunan Hoki Pelapis Negara

Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) menerima suntikan semangat apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM9 juta bagi membiayai projek pembangunan pemain pelapis atau Projek Hoki 1MAS bagi tempoh tiga tahun bermula tahun depan.

Mengumumkannya ketika merasmikan Projek Hoki 1MAS di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta di sini hari Isnin, Najib berkata hoki mendapat tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia serta menjadi acara sukan yang mampu dikuasai pemain negara di pentas antarabangsa.


"Sebab itu, sukan itu perlu diberi nafas baru sebagai rangsangan untuk menambah kejayaan. MHF meminta RM2 juta setahun bagi Projek Hoki 1MAS tapi saya tambah satu juta lagi bagi tempoh tiga tahun. Selepas itu, kita kena lihat kejayaan program tersebut.

Jika berjaya (peruntukan itu) mungkin ditambah," katanya.

Selain peruntukan tersebut, Najib juga memberi persetujuan kepada permintaan MHF agar Stadium Hoki Tun Razak dijadikan sebagai pejabat kekal MHF serta pusat latihan pasukan kebangsaan.

MHF kini menyewa bangunan pejabat di Stadium Hoki Nasional di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Najib turut mengimbau kenangan stadium tersebut yang dinamakan sempena nama ayahandanya Almarhum Tun Abdul Razak Hussein yang juga presiden persatuan Hoki Malaysia pada tahun 1970-an.

Kejayaan skuad kebangsaan menduduki tempat keempat pada Kejohanan Hoki Piala Dunia ke-3 yang diadakan di sini pada 1975, ketika itu amat menggembirakan ayahandanya, katanya.

"Saya masih ingat seri muka ayah saya ketika itu. Dan saya rasa sejarah itu seperti berulang bila pasukan kebangsaan mendapat pingat perak selepas tewas 0-2 kepada Pakistan pada perlawanan akhir acara hoki di Sukan Asia di Guangzhou pada bulan lepas," katanya.

Mengenai program Projek Hoki 1MAS itu, Najib berkata program tersebut merupakan asas untuk membina pasukan hoki yang kuat.

"Untuk membina kejayaan seperti di hujung piramid, perlu ada landasan yang kuat dan luas seperti dasar piramid," katanya.

Sementara itu Presiden MHF, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata projek tersebut melibatkan pemain-pemain remaja di bawah 12, 14 dan 16 tahun dan telah bermula pada Julai lepas dengan melibatkan 840 pemain di 14 negeri.

Katanya, jumlah peserta program tersebut dijangka meningkat kepada 2,100 pemain pada 2015.

"Tujuan program tersebut ialah memartabatkan kembali sukan hoki di negara ini dan juga di persada dunia.

Malaysia kini berada di ranking ke-15 dunia walaupun pada 1975, kita nombor empat," katanya.

Mengenai persetujuan Perdana Menteri mengenai permintaan MHF agar Stadium Tun Razak dijadikan sebagai pejabat persekutuan itu, Tengku Abdullah berkata terpulang kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk mempertimbangkannya.

BERNAMA



p/s: harap lepas ni pasukan hoki Malaysia jadi salah satu pasukan yang digeruni. jangan jadikan benda ni hanya retorik semata-mata.