September 4, 2010

'Tahun ini milik Chelsea'


CHELSEA: Michael Essien yakin Chelsea akan menamatkan penantian sekian lama mereka bagi menjuarai Liga Juara-Juara musim ini.

Chelsea sudah mengambil kira secara serius pesaing mereka di Eropah sejak Roman Abramovich mengambil alih pemilikan kelab pada 2003 dan mereka melangkah hingga ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2004, 2005, 2007 dan 2009, selain muncul juara menerusi jaringan penalti bagi memenangi trofi pada 2008.

Mereka sudah merangkul tiga gelaran Liga Perdana, tiga Piala FA dan dua Piala Liga sejak pengambilalihan itu dan ketika Essien bergembira terhadap kemenangan berganda kelab itu musim lalu, dia berkata mereka kini lebih berazam untuk mencipta kejayaan di peringkat Eropah kali ini.
Kami sudah menetapkan sasaran setinggi yang kami mampu dan sasarannya adalah untuk memenangi setiap perlawanan yang disertai, kata Essien. Kini kami mempunyai empat trofi untuk dirangkul dan setiap kami fokus untuk memberikan 110 peratus.

Anda tidak boleh minta lebih daripada tiga kemenangan dengan 14 gol tanpa bocor seperti ketika ini. Inilah alasan mengapa saya begitu teruja musim ini. Pemain sudah bersama sejak empat hingga lima tahun dan persefahaman semakin baik setiap tahun.

Kita tidak boleh terbawa-bawa dan harus bekerja keras untuk memenangi semuanya. Sebagai pemain, ada naluri bahawa `sesuatu yang besar semakin hampir, dan saya merasai perkara sama yang musim lalu ketika kami menang berganda.

Saya pasti kami boleh pergi selangkah lebih jauh dan menambah satu kejayaan besar Liga Juara-Juara UEFA dalam koleksi trofi kami. Setiap individu tahu betapa kemenangan begitu bermakna buat kami. Sebagai satu pasukan yang sudah menjuarai setiap trofi tempatan, adalah perkara biasa kami `laparkan trofi Eropah.
Tetapi ini bukan bermakna kami tak pedulikan Liga Perdana, Piala FA atau Piala Carling. Kami mahu memenangi setiap perlawanan musim ini dan melakukan yang termampu untuk memenangi semua piala itu. Agensi

Sumber: Berita Harian