September 8, 2010

Reputasi Capello Sukar Diselamatkan: Ancelotti


LONDON: Carlo Ancelotti menyifatkan Fabio Capello sudah bertukar daripada menjadi pengurus yang baik kepada tidak berguna di kalangan penyokong England.

Pengurus Three Lions dari Itali, Capello menyaksikan kempen Piala Dunia mereka hancur dan kini bergelut menyelamatkan reputasinya menjelang pertembungan dengan Switzerland dalam pusingan kelayakan Euro 2012 awal pagi tadi.


Rakan senegara dan pengurus Chelsea, Ancelotti berkata: “Sebelum Piala Dunia, Capello seperti Tuhan. Sekarang beliau tidak cukup bagus untuk mengendalikan England.


“Di Itali, jika anda mencapai kemenangan, anda seorang yang bagus tapi jika kalah, anda seorang yang teruk. Dalam bahasa Itali, anda boleh mengatakannya ‘testa di cazzo’.” Testa bermaksud kepala manakala cazzo dalam bahasa Itali adalah bahagian alat sulit lelaki.


Namun Ancelotti menegaskan, Capello masih dianggap pengurus terbaik untuk membimbing England keluar daripada belenggu kekecewaan di Afrika Selatan yang berakhir dengan keputusan memalukan, tumpas di tangan Jerman 4-1.


“Capello akan membuktikan selepas ini beliau mampu bawa pasukan kebangsaan mencapai kejayaan.


“England tidak beraksi dengan baik di Piala Dunia namun pemain paling penting dalam kejohanan itu, Wayne Rooney tidak cergas 100 peratus.


“Saya fikir Capello adalah jurulatih hebat,” katanya. - Agensi

Sumber: Harian Metro