September 8, 2010

Merana Gara-gara Nak Tunjuk Hebat


ROTTERDAM: Penyerang Belanda, Dirk Kuyt (gambar) terpaksa membayar harga mahal dalam cubaannya melakukan sepakan gunting ketika latihan selepas mengalami kecederaan bahu akibat terjatuh dalam posisi pelik yang memaksanya disisihkan selama beberapa minggu, kata jurulatih Bert van Marwijk, kelmarin.

“Dia melakukan gerakan itu banyak kali namun kali ini ia agak buruk,” kata Van Marwijk pada sidang media menjelang perlawanan kedua kelayakan Euro 2012 menentang Finland dalam Kumpulan E di Rotterdam. “Dia menerima bebanan pada ligamen bahunya dan mungkin sebahagiannya terkoyak.”

Kecederaan penyerang Liverpool itu bermakna Van Marwijk terpaksa mengharungi perlawanan tanpa seorang pun penyerang yang beraksi di final Piala Dunia ketika menentang juara dunia Sepanyol, Julai lalu.

Pemain sayap Bayern Munich, Arjen Robben turut diketepikan daripada perlawanan menentang Finland akibat kecederaan hamstring manakala penyerang Arsenal, Robin van Persie tidak disenarai akibat kecederaan buku lali.

“Kini semua penyerang tiada, pemain lain boleh buktikan apa yang mampu mereka lakukan,” kata jurulatih itu lagi.

Selain itu, skuad Oranje juga akan kehilangan pertahanan kental, Khalid Boulahrouz akibat kecederaan pangkal paha namun John Heitinga kini sudah bersedia diturunkan selepas tamat penggantungan. – Reuters

Sumber: Berita Harian