September 8, 2010

Villa Pilih Houllier


LONDON: Gerard Houllier rasmi akan dilantik sebagai pengurus baru Aston Villa minggu ini.

Selepas memegang tugas pengurus di Liverpool dan Lyon, Houllier yang ketika ini memegang tugas sebagai pengarah teknikal skuad kebangsaan Perancis, sedang bersama presiden persekutuan bola sepak negara itu, Fernando Duchaussoy ke Bosnia bagi perlawanan kelayakan Euro 2012 menentang Bosnia.

“Kami akan berbincang pada Rabu (hari ini) untuk melihat situasi semasa,” kata Duchaussoy. “Saya akan bertanya kepadanya. Saya mahu dia terus bekerja untuk kami.”
Houllier, 63, dilaporkan akan mengesahkan tugas barunya di Villa Park, walaupun mendapat bantahan daripada penyokong kelab itu.

Kevin MacDonald yang mengambil alih tugas sementara mengendalikan Villa sejak peletakan jawatan mengejut Martin O'Neill, memikat pemilik kelab, Randy Lerner dan mungkin dikekalkan sebagai pembantu Houllier atau jurulatih kelab utama.

MacDonald, serta Alan Curbishley, ditemuduga untuk jawatan pengurus tetapi nama Houllier muncul sebagai calon utama. – Agensi

Sumber: Berita Harian