August 28, 2010

Koo-Tan Mara


KOO Kien Keat-Tan Boon Heong mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Paris tatkala perseorangan utama Lee Chong Wei terus menerus menghampakan apabila dikejutkan juara 2005 Taufik Hidayat dari Indonesia di suku akhir, semalam.

Kien Keat-Boon Heong, pilihan pertama, menewaskan pasangan Korea Selatan Jung Jae-sung-Lee Yong-dae 23-25, 21-13, 21-14 dalam 72 minit untuk mengatur pertemuan separuh akhir menentang pilihan keempat, Guo Zhengdong-Xu Chen dari China di Arena Pierre de Courbetin , hari ini.
“Kami gembira dengan kemenangan ini,” kata Kien Keat selepas perlawanan itu.

“Ia memang perlawanan sengit dan sukar. Sekalipun mara ke separuh akhir, kami tidak akan terlalu yakin sebalik akan menghadapi dengan berhati-hati.

“Selain itu, saya juga gembira dengan sokongan penonton terutama sekali dari Malaysia yang hadir dan ia memberikan semangat kepada kami,” katanya.

Kejayaan Kien Keat-Boon Heong itu menyaksikan mereka mengulang pencapaian tahun lalu di Hyderabad, India apabila berjaya mara ke separuh akhir sebelum tunduk kepada Jae-sung-Yong-dae, tetapi kali ini berjaya membalas dendam bagi kekalahan itu.
Bagi Chong Wei pula, persembahan buruknya di kejohanan dunia berterusan apabila sekali lagi gagal melepasi saingan suku akhir, kali ini tunduk kepada pemain veteran Taufik dalam tiga set 15-21, 21-11 dan 12-21 dalam tempoh 60 minit.

Sejak memenangi pingat gangsa di Anaheim pada 2005, Chong Wei, pemain pilihan pertama itu gagal mengulang pencapaian itu sekali pun hadir di Paris berbekal empat kejuaraan Siri Super di Terbuka Korea, Malaysia, Seluruh England dan Indonesia.

Malah corak permainannya ketika menentang Taufik - yang ditewaskannya kali terakhir mereka bertemu pada final Terbuka Indonesia Jun lalu - tidak menampakkan semangat juang sebaliknya lemah dan kurang bermaya, sekali gus mungkin tidak sesuai dengan statusnya selaku pemain nombor satu dunia.

“Saya tidak bermain dengan bagus hari ini, pergerakan saya agak lemah, pastinya ini bukan hari saya. Kebanyakan serangan saya tidak menjadi. Taufik bermain dengan agresif, dan memang saya tidak bernasib baik kerana kalah sekali lagi pada peringkat suku akhir,” kata Chong Wei yang mengakui mengalami kesakitan belakang.

Sumber:Berita Harian