August 27, 2010

Jangan Ulangi Kesilapan: TM


KUNJUNGAN kali kedua skuad Harimau Muda A ke Slovakia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin selain berjalan tanpa membangkitkan sebarang isu, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam.

Pasukan yang kini di bawah kendalian Ong Kim Swee itu dijangka berlepas ke Slovakia Rabu ini dan berada di sana selama tiga bulan untuk terbabit dalam 12 perlawanan kompetitif menentang kelab Divisyen Satu Liga Slovakia selain empat perlawanan persahabatan antarabangsa.

“Kita tidak mahu kesilapan yang lalu berulang,” kata Tengku Abdullah. “Perkara ini penting dan kita tidak mahu terus dibelenggu dengan masalah peribadi. Kita mahu pasukan yang fleksibel dan jurulatih juga perlu bersedia dan menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Begitu banyak masa sudah terbuang dan cerita yang lama kita perlu kita lupakan dan inilah masanya untuk pandang ke depan dan kembali bangkit,” kata Tengku Abdullah sambil mengatakan jika ada pemain yang dilamar kelab Slovakia, peluang itu tidak harus dilepaskan.

Tengku Abdullah berkata demikian ketika menghadiri majlis pengumuman kelab gergasi Inggeris, Chelsea yang sekali lagi akan membuat kunjungan ekslusif ke Malaysia dalam rangka latihan pra-musim juara berganda itu, tahun depan.

Majlis itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay dalam kunjungan ringkas delegasi the Blues ke Malaysia untuk sekali lagi menjadikan negara ini sebagai hab latihan pasukan itu selepas dua kali bertandang ke sini kali terakhir pada 2008.

“Latihan pra-musim adalah sesuatu yang amat penting bagi kami terutama buat jurulatih, Carlo Ancelotti,” kata Gourlay. “Kami di Chelsea tidak pernah meragui keupayaan Malaysia untuk menjadi hos program latihan pra-musim dan yakin dengan layanan dan kemudahan berkelas dunia dunia yang ada di sini.”

Sumber:Berita Harian