June 30, 2012

Laporan Perlawanan| Kelantan 1-0 Selangor: The Red Giants Tewas Kepada The Red Warriors



Permainan bermula dengan tempo yang amat rancak dalam perlawanan antara dua gergasi bola sepak Malaysia. The Red Warriors yang kini berada pada rekod 21 perlawanan tanpa kalah, menunjukkan mereka semangat juang yang tinggi apabila Nursharul Idlan Talaha memberi ancaman ke gawang Selangor melalui lorongan cantik Indra Putra Mahyuddin. Namun rembatannya berjaya disekat dengan mudah oleh pertahanan Selangor.

Beberapa minit kemudian, Mat Yo sekali lagi mengancam kubu Selangor namun lariannya tidak memberikan apa-apa keputusan yang diharapkan. Tandukan Ghaddar hasil daripada sepakan penjuru Indra akhirnya memberikan gol buat Kelantan. Ghaddar tidak dikawal dengan kemas semasa sepakan penjuru itu diambil dan ia nyata memberikan ruang yang cukup terbuka buat Ghaddar menjaringkan gol penting buat Kelantan.

Kemudian, gerakan satu-dua antara dua pemain Kelantan memberikan peluang untuk Ghaddar menambahkan jaringan namun sepakan lemahnya berjaya diselamatkan oleh Norazlan Razali. Semasa perlawanan menuju tamat separuh masa pertama, sepakan percuma Safiq Rahim hampir menemui gawang namun bola melencong ke sisi gawang Kelantan.

Separuh masa pertama berakhir dengan Kelantan berjaya mendominasi perlawanan manakala Selangor pula hilang arah di kubu Kelantan.

Bermula separuh masa kedua, bekas pemain Aston Villa, Bosko Balaban menyiku muka Daudsu Jamaluddin. Namun pengadil hanya memberika kad kuning di atas sikap tidak profesional itu. Perlawanan bersambung dengan menyaksikan beberapa kekasaran yang direkodkan dalam perlawanan antara kedua-dua pasukan.

Indra Putra hampir menambah derita Selangor namun rembatan jauh yang dilakukannya berjaya diselamatkan Norazlan sebelum bola melantun terkena palang.

Amri Yahyah turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol penyamaan buat Selangor namun tendangannya berjaya ditepis oleh Khairul Fahmi. Perlawanan berakhir dengan Kelantan banyak mengawal permainan. Jurulatih Selangor, Irfan Bakti nyata kecewa dengan prestasi anak buahnya malam ini. Bojan Hodak pula pasti gembira dengan kemenangan ini apabila hanya sekadar seri dengan Terengganu beberapa hari lepas.