February 7, 2012

Pengganti Simukonda Tiada Kualiti

RUMUSAN negatif diberikan pengendali T-Team, Yunus Alif selepas tiga hari 'memeras otak' menilai empat pemain import bagi mengisi tempat yang ditinggalkan Zacharia Simukonda.

Kesimpulan Yunus - kesemua pemain import yang dinilai tidak mencapai standard yang diperlukan, malah diibarat sebagai indah khabar dari rupa.

Lantas, jurulatih berpengalaman kelahiran Terengganu mengambil tindakan drastik dengan 'menghantar balik' tiga daripada empat pemain import yang diuji.

"Mereka langsung tidak menarik perhatian saya dan tidak ada ciri-ciri sebagai pemain import yang saya perlukan.

"Jadi, buat apa kita simpan mereka dan kita telah menghantar balik tiga daripada mereka termasuklah seorang bekas pemain Nantes dan Mets," kata Yunus kepada Kosmo! semalam.

Tiga pemain import baharu yang telah dihantar balik ialah Jamie Pheonix dari England, Umaru Mustapha Suna (Siera Leone) dan Tenema Ndiaye (Mali).

Penyerang Bosnia, Goran Kuljilas pula masih diberi peluang untuk menjalani sesi pemilihan bersama pasukan kelab itu.

"Ada di antara pemain import ini yang semacam tidak bersemangat untuk bermain. Tiada ciri profesional.
"Kita sebenarnya mencari pemain yang baik dan berkualiti, tetapi jika tidak ada, buat apa kita bazirkan duit untuk membayar mereka.

"Lebih baik kita gunakan tenaga pemain tempatan yang jauh lebih baik daripada mereka," katanya.

Bagaimanapun, Yunus mengakui pasukannya mungkin akan menggunakan tempoh pembelian pemain import pada April depan untuk mencari seorang pemain yang benar-benar berkualiti.

"Kalau sekarang ini tidak ada (sehingga 13 Februari), kita akan main dengan seorang pemain import sedia ada iaitu Bojan.

"Kalau pihak pengurusan bersetuju, kita mungkin hanya menambah seorang lagi pada April depan," ujarnya.
Terdahulu, T-Team terpaksa menamatkan khidmat Simukonda ekoran masalah pretasi selain bebanan kecederaan yang dialami pemain dari Zambia itu.

Sepanjang lima perlawanan bersama T-Team, Simukonda yang pernah mencipta nama bersama Perlis hanya menjaringkan satu gol.