February 17, 2012

Mancini Nafi Tuduhan Tevez



LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menafikan tuduhan Carlos Tevez yang mendakwa beliau melayan penyerang itu seperti anjing kelmarin.


Tevez mengambil keputusan pulang ke negara asalnya, Argentina tanpa kebenaran City dan tidak bermain bersama kelab itu selepas enggan mengikuti sesi memanaskan badan pada Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, September lalu.


Enggan bercakap mengenai Tevez yang menangguhkan kepulangan ke Manchester, Mancini menyelar tuduhan tersebut dalam satu sidang media sebelum aksi Liga Europa menentang Porto FC.


"Saya tidak bersetuju dengan apa yang telah diperkatakan oleh Tevez kerana saya tidak pernah melayannya dengan teruk itu.


"Mungkin sebaliknya kerana saya melayan dia dengan baik. Ini adalah soalan terakhir yang saya jawab (mengenai Tevez) untuk tempoh tiga bulan ini," kata jurulatih dari Itali itu


Penyerang Argentina itu tidak bersama City di Portugal tetapi dia turut dilaporkan ingin membantu City merebut gelaran Liga Perdana England buat kali pertama sejak tahun 1968.


Segala keinginan itu bergantung kepada prestasi pemain berusia 28 tahun itu, namun kritikan ke atas Mancini mungkin menjadi penghalang Tevez kembali bersama pasukan.


Sementara itu, Tevez juga akan berdepan dengan peminat City yang tidak berpuas hati dengan sikapnya sejak dia mula memberontak meninggalkan kelab.


Terdahulu, Tevez menjelaskan bahawa insiden yang berlaku di Munich menyaksikan dia diperlakukan 'seperti tidak sepatutnya'.


"Dia (Mancini) melihat saya ketika di bangku simpanan, sebagaimana beliau tengah marah. Mancini sekali lagi mengarah saya seperti anjing untuk memanaskan badan. Disebabkan oleh nadanya yang tidak baik, saya menolaknya," kata Tevez.


Sejurus selepas kejadian itu, Mancini memberitahu bahawa karier Tevez sudah 'berakhir', namun tetap mengharapkan kelibat penyerang tersebut.


"Jika dia (Tevez) berada di sini dan beraksi ia mungkin lebih baik kerana Carlos mampu mengubah permainan," kata Mancini minggu lalu.


Tevez dikenakan tindakan disiplin oleh kelabnya kerana enggan memanaskan badan dan tidak mendapatkan kebenaran untuk pulang ke tanah airnya. - Reuters