February 14, 2012

Helah Kelantan Dalam "Kocek" Irfan Bakti



HELAH peneraju Liga Super, Kelantan pastinya sentiasa tersimpan utuh di dalam 'kocek' pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim.


Irfan pula pastinya tidak duduk diam menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini kerana beliau sedang memikirkan strategi terbaik untuk menyekat kemaraan Kelantan.


Biarpun bersedia untuk 'direhatkan' gara-gara prestasi hambar Selangor setakat ini, keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang masih mempercayai kredibiliti Irfan pastinya mahu dibalas pengendali kelahiran Perak itu dengan kemenangan.


Duka dimalukan 'adik', Selangor PKNS dengan keputusan 0-2, Sabtu lepas juga sukar diterimanya.


Justeru, Irfan serta seluruh anak didiknya pastinya tahu apa yang perlu mereka lakukan malam ini jika berhasrat mengejar The Red Warriors yang ketika ini cukup selesa di persada liga dengan 17 mata, lapan mata meninggalkan Selangor.


Kehadiran semula bek kiri kental, P. Gunalan yang sebelum ini tersisih dalam dua perlawanan terdahulu gara-gara kecederaan juga pastinya menjadi aset yang paling bernilai buat Gergasi Merah untuk mengutip tiga mata berharga.


Larian deras Gunalan di sebelah kiri serta kemampuannya melakukan hantaran tepat ke kubu lawan dilihat sebagai senjata sulit Merah Kuning, tambahan pula 'malapetaka' ketumpulan penyudah dilihat masih menghantui pasukan itu apabila sekadar meledak enam gol dalam tujuh perlawanan setakat ini.


"Kepulangan Gunalan sememangnya cukup melegakan kami terutamanya ketika cuba mengekang asakan Kelantan menerusi 'ayam tambatan' mereka, Norshahrul Idlan Talaha.


"Pada masa sama, saya juga berharap supaya barisan serangan kami dapat menamatkan kemarau jaringan, sekali gus mencatatkan kemenangan ke atas Kelantan," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.


Untuk rekod, Selangor tewas dalam kedua-dua pertemuan kepada Kelantan pada saingan Liga Super musim lepas, selain turut kecewa ditunjukkan jalan keluar oleh Sang Kijang pada peringkat separuh akhir Piala FA 2011 apabila tewas dengan agregat 2-5.


Irfan memberitahu, beliau tidak akan membuat rombakan besar-besaran dan yakin dengan kemampuan kesebelasan utama yang sering diturunkan sebelum ini termasuk kapten, Amri Yahyah, Safiq Rahim, K. Soley, Nasriq Baharom, Fitri Shazwan dan Azidan Sarudin.


"Pada masa sama, saya juga harap pemain tidak mengulangi kesilapan seperti mana ketika menentang PKNS tempoh hari apabila akhirnya dihukum akibat terlalu ghairah menyerang," katanya.