January 27, 2012

Jaringan Bellamy Jumpa 'Malaysia'


LIVERPOOL - Craig Bellamy menjaringkan gol kemenangan ketika menentang bekas kelabnya bagi membantu Liverpool ke perlawanan akhir Piala Liga, semalam setelah menewaskan Manchester City 3-2 secara agregat.

Perlawanan separuh akhir kedua di Anfield semalam berkesudahan seri 2-2 tetapi keputusan perlawanan pertama di Manchester dua minggu lalu membolehkan Liverpool ke Wembley bulan depan untuk pertemuan final dengan Cardiff City, sebuah lagi bekas kelab Bellamy.

"Saya tidak rasa ia perlawanan akhir yang terbaik buat saya. Cardiff amat bermakna buat saya, ia tempat asal saya. Saya tidak pernah beraksi di Wembley dan hari ini (semalam) mengalahkan City dengan barisan pemain yang mereka ada. 

Kini kami layak ke perlawanan akhir," kata Bellamy.

City beraksi tanpa kelibat penyerang Mario Balotelli selepas pemain itu memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan di atas penggantungan empat perlawanan kerana memijak pemain Tottenham Scott Parker hujung minggu lalu.

City berjaya menyamakan kedudukan agregat menerusi jaringan Nigel de Jong pada minit ke-31. Sembilan minit kemudian, Liverpool kembali di depan apabila kapten, Steven Gerrard menyempurnakan penalti.

Penjaga gol City, Joe Hart cemerlang apabila menyelamatkan beberapa percubaan bahaya tuan rumah sebelum Edin Dzeko kembali meletakkan pendahulu Liga Perdana itu mendahului 2-1 pada minit ke-67.

Namun hanya tujuh minit berselang Liverpool yang tidak berputus asa, memastikan laluan kefinal apabila Bellamy meledak gol penyamaan ketika perlawanan berbaki 16 minit.

Cardiff terlebih dahulu menempah tiket ke perlawanan akhir setelah menewaskan pesaing dalam kelab Liga Kejuaraan (divisyen kedua), Crystal Palace 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti kelmarin, selepas terikat dengan agregat 1-1. - REUTERS