January 30, 2012

Irfan Tutup Mulut Longkang


KATA-KATA sumbang yang mengkritik persembahan hambar Selangor sepanjang saingan Liga Super setakat ini ternoktah sudah.
Kelmarin, skuad Gergasi Merah itu menamatkan badi terhadap pasukan berstatus kelab, T-Team dengan penuh bergaya apabila menang 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Dua gol hasil ledakan pemain import, Ramez Dayoub menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 dan Azidan Sarudin (78) sudah cukup untuk memalukan anak-anak buah Yunus Aliff di gelanggang sendiri.
T-Team pula memperoleh gol tunggal menerusi kapten, Zairo Anuar Zailani hasil sepakan penalti pada minit ke-49.
Sepanjang saingan musim lalu, Selangor tewas dalam keempat-empat pertemuan menentang T-Team termasuk aksi peringkat kumpulan kempen Piala Malaysia.
Barangkali, ada yang terlepas pandang mengenai ‘rekod peribadi’ pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang sebenarnya langsung tidak pernah tewas dengan T-Team sepanjang beliau mengendalikan Terengganu sebelum ini.
“Kemenangan ini sangat menyentuh emosi saya, sekurang-kurangnya ia menutup buku badi kekalahan Selangor sebanyak empat kali terhadap T-Team tahun lepas.
“Walaupun secara peribadinya saya tidak pernah tewas dengan T-Team (semasa mengendalikan Terengganu), kejayaan kali ini lebih manis kerana ia hadir bersama Selangor,” kata Irfan kepada Kosmo! semalam.
Irfan juga lega dengan kehadiran pemain import baharu Selangor yang dijangka memperkasa Gergasi Merah ketika melayan kunjungan Lions XII di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 Februari depan.
“Siapa pemain import tersebut saya masih belum dapat dedahkan lagi, namun pada masa sama, tempoh rehat yang agak lama kali ini akan dimanfaatkan sepenuhnya memperkuatkan lagi keserasian dan corak persembahan pemain,” katanya.
Selangor yang ketika ini dikaitkan dengan Amadou Konte dari Mali, Bosko Balaban (Croatia) dan bekas pemain Udinese, Zlatan Muzlimovic sebagai calon import menggantikan pemain ‘indah khabar dari rupa’, Lelo Mbele juga bakal menguji skuad Olimpik negara dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.