January 30, 2012

Mat Zan Puji Anak Buah

KETUA jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berpendapat kemenangan dirakam anak buahnya di gelanggang Lions XII di Stadium Jalan Besar, malam kelmarin amat berharga dalam memastikan pasukan terus bersaing dan menghambat Kelantan dalam perebutan persada Liga Super.

“Sudah tentu kemenangan ini berharga kerana keputusan seri atau kalah akan menyebabkan kita akan tercicir mata dengan Kelantan. Jadi, kita perlu terus mencatat kemenangan untuk memberi tekanan kepada mereka,” katanya


Mat Zan turut menegaskan bukan mudah untuk barisannya menyesuaikan diri bermain di atas padang tiruan dengan cepat apabila mereka mempamer aksi kelam kabut di awal permainan hingga membolehkan lawan menguasai bola.


“Pada awal permainan, saya agak gusar juga dengan aksi kelam kabut yang ditunjukkan pemain, tetapi apabila sudah mula serasi dengan padang tiruan, mereka kemudian berjaya mengawal permainan dan mengekang setiap gerakan lawan.

“Malah, saya sangat berpuas hati dengan jaringan tunggal pemain import, Francis Forkey Doe pada babak kedua perlawanan yang sudah memadai buat kita melakar kemenangan tipis 1-0 sekali gus membawa pulang tiga mata,” katanya.

Katanya, walaupun skuad Penyu turun beraksi tanpa ketua pasukan, Marzuki Yusof yang cedera ketika latihan namun penggantinya Mohd Faizal Mohamad yang bergandingan bersama Muslim Ahmad kental menahan kubu daripada asakan musuh.