January 7, 2012

Azab Terengganu



"MEMANG mudah untuk memohon maaf tetapi kesannya PBSNT yang tanggung."
Demikian tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh ke atas permohonan maaf yang dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kontroversi surat pekeliling bertarikh 23 Disember lalu.
Che Mat dalam nada kecewa berkata, FAM sebagai sebuah badan sukan bola sepak utama di negara ini sepatutnya lebih arif dalam mengeluarkan sebarang arahan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli gabungannya.
Justeru katanya, kesilapan ini perlu dijadikan iktibar buat badan sukan itu agar lebih memberi ruang dan mendengar suara ahli-ahli gabungan di peringkat negeri.
"Apa yang PBSNT buat ini (mendapatkan pemain import) adalah berdasarkan pekeliling daripada FAM tetapi kini kita terpaksa menerima hakikat bahawa dua pemain import kita tidak boleh beraksi dalam Liga Malaysia," katanya kepada Kosmo! semalam.
Jelasnya lagi, PBSNT juga terpaksa menanggung sengsara ekoran daripada kesilapan teknikal yang dilakukan FAM, termasuk kerugian dari segi kewangan, masa dan tenaga.
"PBSNT sebagai salah satu ahli gabungan FAM tidak boleh berbuat apa-apa. Jika kita menentang, kita bakal berdepan hukuman. Mahu tidak mahu, kita terpaksa menerima hakikat ini," ujarnya.
Ditanya mengenai nasib dua pemain import yang telah ditandatangani iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil, Che Mat masih enggan menjelaskan dan akan berbincang dengan pihak pengurusan dalam masa terdekat.
"PBSNT sendiri tidak pasti apa yang perlu dilakukan kerana perkara ini baru sahaja berlaku," ujarnya.
Semalam, Kosmo! mendedahkan kontroversi baharu yang dialami PBSNT ekoran kehadiran surat pekeliling bertarikh 23 Disember yang dikeluarkan FAM.
Dalam surat berkenaan, FAM secara jelas menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari ini.
Bagaimanapun, FAM mengakui kesilapan berlaku apabila pekeliling itu sebenarnya merujuk kepada pendaftaran pemain import untuk kempen Piala AFC dan bukannya untuk Liga-M.--Kosmo Online