January 7, 2012

Dua Pasukan, Satu Spesies Bertemu



KELANTAN memiliki barisan pemain terbaik untuk menjulang Piala Sumbangsih musim ini.
Negeri Sembilan pula memiliki jurulatih terhebat untuk melunturkan hajat Kelantan bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.
Mohd. Azraai Khor Abdullah dianggap antara jurulatih tempatan terbaik kerana memiliki sentuhan luar biasa untuk membawa Negeri Sembilan ke puncak kegemilangan.
Tidak perlu dipersoalkan lagi kredibiliti Azraai kerana banyak yang telah dibuktikannya sebelum ini.
Selain membawa Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia 2011, Azraai juga pernah membawa Kedah meraih gelaran treble sebelum ini.
Atas faktor tersebut, maka tidak hairan jika Negeri Sembilan mampu memusnahkan Kelantan pada aksi pembuka tirai Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M) bagi musim 2012 menerusi perlawanan bagi merebut Piala Sumbangsih.
Kelantan selaku juara bertahan Piala Sumbangsih, boleh dilabel pasukan pilihan kerana mereka memiliki barisan pemain terhebat.
Daripada posisi pertahanan hingga ke jentera serangan, watak-watak dalam skuad Kelantan boleh dianggap yang terbaik di negara ini ketika ini.
Azizi Mat Rose yang sememangnya cekap membaca pergera kan lawan, kembali menerajui benteng pertahanan, manakala kapten Kelantan, Mohd. Badri Radzhi bijak merencanakan gerakan.
Jentera serangan pula diterajui Norshahrul Idlan Talaha dengan dibantu Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Mohammad yang kembali ke pangkuan The Red Warriors musim ini.
Ditambah pula dengan kehadiran pemain import, Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi, Kelantan memang dilihat skuad yang serba lengkap musim ini.
Namun persoalannya, mampukah bintang-bintang Kelantan ini menterjemahkan kelebihan yang ada pada mereka itu untuk menghadiahkan kemenangan kepada The Red Warriors.
Namun, Kelantan perlu ingat bahawa memiliki pemain bertaraf bintang yang agak ramai belum tentu menjamin kejayaan.
Kadangkala ia boleh memusnahkan pasukan seperti yang pernah berlaku dengan Kelab Liga Sepanyol, Real Madrid.
Musim lalu, Kelantan bermegah dengan kejayaan muncul juara Liga Super serta Piala Sumbangsih tetapi kecemerlangan itu gagal diteruskan pada kempen Piala Malaysia dan malam ini (pada saingan Piala Sumbangsih), tidak hairan jika kegagalan itu berulang.
Jurulatih baharu Kelantan, Peter James Butler pula tidak memiliki rekod cemerlang ketika mengendalikan skuad tersebut tiga tahun lalu sebelum The Red Warriors diambil alih oleh bekas jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan.
Boleh dikatakan, kebangkitan Kelantan bermula dari era Sathianathan dan selepas itu (musim lalu) ia diteruskan oleh Datuk M. Karathu.
Jika Kelantan gagal mengatasi Negeri Sembilan malam ini, ia membuktikan Butler bukanlah jurulatih yang mampu membawa bola sepak Kelantan ke puncak, sedangkan barisan pemainnya adalah antara yang terbaik di negara ini.
Bagi Negeri Sembilan pula, pengalaman menjadi resipi utama mereka untuk memastikan Piala Sumbangsih musim ini bertapak di negeri yang penuh dengan adat perpatih itu.
Ia bukan mustahil kerana mereka telah membuktikannya pada final Piala Malaysia musim lalu.
Azraai pula sentiasa bijak mempergunakan kelebihan yang ada pada barisan pemain dalam skuad kendaliannya itu yang sebahagian besarnya masih diterajui orang lama seperti Mohd. Shukor Adan selaku kapten, Idris Karim, Shahurain Abu Samah, S. Kunalan serta tonggak import dari Cameroon, Jean Emmanual Effa Owona.
Meskipun kehilangan khidmat wira Piala Malaysia musim lalu, Hairuddin Omar serta kembar, Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Zaquan Abdul Radzak, Azraai tetap tenang berdepan situasi tersebut kerana dia yakin Negeri Sembilan masih mempunyai pemain yang hebat untuk meletakkan skuad kendaliannya itu di puncak kejayaan.
Jika mengimbas perjalanan mereka musim lalu, Aidil dan Zaquan tidak banyak membantu kejayaan Negeri Sembilan kerana mereka bergelut dengan kecederaan hampir sepanjang musim.
Jadi, tanpa mereka Negeri Sembilan tetap pasukan yang perlu di awasi.
Apa pun, segalanya akan terjawab hari ini apabila Kelantan turun membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada pukul 8.45 malam.--Kosmo Online