November 27, 2011

Udinese Tangga Teratas Seria A



Juventus terus beri tekanan dua mata di belakang yang beraksi kurang satu perlawanan




ROME: Udinese menewaskan AS Roma 2-0 kelmarin untuk menduduki tangga teratas Serie A menjelang pertemuan antara Lazio dan Juventus, semalam.


Udinese memenangi perlawanan itu hasil jaringan Antonio Di Natale, yang menjaringkan gol peribadi kesembilannya musim ini pada minit ke-79, dengan Maurizio Isla menambah gol kedua, beberapa minit sebelum permainan tamat.


“Kami menghasilkan satu permainan hebat menentang satu pasukan yang begitu bersemangat. Mereka sangat bagus pada babak pertama, manakala kami bertahan dengan baik dan menyerang balas,” Di Natale memberitahu Sky Sport.


“Kami tidak melihat kepada kedudukan carta... apa yang penting ialah Udinese menang. Saya seorang penyerang, saya di sini untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka.”


Lazio berdepan ujian getir di laman sendiri menanti kunjungan Juventus di Stadio Olimpico semalam, tatkala mereka berusaha untuk membuktikan mereka mampu memberi saingan kepada pasukan handalan Serie A itu dalam persaingan merebut kejuaraan Scudetto.


Kedua-dua pasukan mengumpul 22 mata, dua di belakang Udinese, dengan Juventus, yang beraksi kurang satu perlawanan, menduduki tangga kedua berdasarkan perbezaan gol. - AFP

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!