Gonzales mungkin akan bersama Super Warriors musim depan.
TIRAI Piala Malaysia 2011 telah secara rasmi ditutup selepas Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara baharu.
Begitupun, pasukan Kelantan kini sudah memulakan langkah untuk
mempersiapkan pasukan itu bagi mengharungi saingan liga dan kejohanan
domestik selain membuat penampilan sulung pada kejohanan Piala AFC.
Selepas mencuba lima pemain import dari Croatia, Malawi dan Ghana
termasuk seorang pemain dari liga Divisyen Dua Belanda, Jeans Black yang
tiba di Kota Bharu bersama jurulatih baharu mereka, Peter James Butler
pada 23 Oktober lalu, mereka dijangka akan mencuba seorang lagi pemain
import.
Kali ini, 'selera' The Red Warriors (TRW) sedikit berubah
apabila mereka bakal mencuba bekas pemain kebangsaan Sepanyol yang
pernah tersenarai menyertai skuad Piala Dunia 2002 lalu dan pernah
beraksi untuk beberapa kelab terkenal di negara yang dikenali dengan
jolokan La Furia Roja itu.
Berusia 34 tahun, Sergio Gonzales kini dikhabarkan berada dalam
radar Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa
untuk dibawa ke negeri 'Cik Siti Wan Kembang' bagi memperkuatkan lagi
pasukan itu.
Beraksi di posisi tengah, Gonzales memulakan kerjaya profesional
sebagai pemain bola sepak selepas menyertai pasukan Espanyol B pada
tahun 1995, sebelum diserapkan ke pasukan senior tiga tahun kemudian.
Bakat pemain dengan ketinggian 182 sentimeter berasal dari
L'Hospitalet, Sepanyol itu mula dikesan oleh pasukan Deportivo La
Caruna yang mana dia menabur khidmat selama 10 musim.
Sumber KAFA memberitahu, nama pemain itu pernah disebut-sebut sebelum
ini dalam perjumpaan pihak pengurusan tetapi sehingga kini belum ada
surat tawaran rasmi dikeluarkan.
Menurutnya, perbincangan secara tidak rasmi sedang berjalan ketika
ini antara pemain tersebut dan pihak pengurusan untuk mencari kata putus
selain persetujuan pemain itu untuk berhijrah ke Kelantan.
"Setakat ini belum ada apa-apa tawaran rasmi diberikan kepada pemain
tersebut dan sehingga kini ia masih dalam perbincangan melibatkan
beberapa perkara lagi.
"Sekiranya selesai dan berjaya mencapai kata sepakat, mungkin impian
untuk melihat pemain itu beraksi dengan TRW akan tercapai," katanya.
Gonzales dikenali sebagai pemain tengah yang sentiasa bekerja keras
serta mampu bertindak membantu pertahanan, selain kreatif dalam
menghasilkan gerakan membantu jentera hadapan.
Sepanjang 14 musim bermain dalam kempen Liga Sepanyol, dia telah
beraksi dalam 429 perlawanan dan berjaya meledakkan 42 gol, termasuk
tiga gol ketika bersama pasukan terakhirnya, Levente bagi musim
2010-2011.
Karier peringkat antarabangsa Gonzales bermula ketika dipanggil oleh
jurulatih Sepanyol ketika itu, Jose Antonio Camacho untuk mewakili
pasukan kebangsaan pada 2001 bagi persiapan Piala Dunia 2002.
INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!