Pemain Malaysia meraikan jaringan Baddrol Bahtiar pada perlawanan menentang Thailand di Stadium Gelora Bung Karno, semalam. Malaysia menang 2-1.
HARIMAU Muda kembali mengaum. Selepas hambar diikat Singapura, Malaysia mencipta kemenangan pertama ke atas Thailand 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan A Sukan SEA XXVI di Jakarta, semalam untuk mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir, seterusnya di landasan tepat mempertahankan pingat emas temasya dwitahunan itu.
Pada saingan di Gelora Bung Karno semalam, skuad Bawah 23 kendalian Ong Kim Swee tampil mempamerkan corak lebih meyakinkan berbanding aksi pertama Isnin lalu, dengan gerakan pantas dan beberapa gerakan jaringan yang kemas.
“Kami mempunyai tempoh empat hari untuk persiapan menentang Kemboja dan saya harap ia cukup untuk pemulihan pemain. Kemboja bukan pasukan mudah dan waktu rehat panjang ini bakal membantu kami.”
Saya tak sangka: Izzaq
Pada perlawanan semalam, Kim Swee menyenaraikan Nazmi dalam kesebelasan pertama dan fungsinya di depan barisan pertahanan banyak membantu pasukan dalam mengatur serangan ke kubu Thailand.
Kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar memecah kebuntuan dengan meledak gol pertama negara pada minit ke-25 tetapi kelalaian seketika membolehkan barisan dikendalikan jurulatih Prapol Pongpanich menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menerusi rembatan Natarid Thammarossopon.
Namun percaturan Kim Swee memasukkan Izzaq Faris Ramlan untuk bergandingan dengan Ahmad Fakri Saarani pada baki 10 minit sebelum tamat, membuahkan hasil apabila penyerang tinggi lampai itu meledak gol kemenangan dengan sepakan lencong kaki kiri yang menarik pada minit ke-85.
“Saya tidak sangka akan diturunkan hari ini (semalam) dan peluang beraksi itu saya gunakan sebaik mungkin. Saya lebih gembira dapat menjaringkan gol dan ini baik untuk karier saya,” kata Izzaq.
INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!