IRFAN (kiri) tidak mahu pemainnya tampil sambil lewa apabila berdepan Kelantan malam esok.
"IA boleh diibaratkan seperti final pertama Piala Malaysia 2011." Demikian rumusan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menjelang pertemuan dengan Kelantan pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.
Katanya, pertemuan antara dua negeri jiran itu sentiasa dinantikan penyokong kedua-dua pasukan kerana perlawanan antara juara Liga Super dan Piala FA 2011 itu pasti menyajikan persembahan yang menarik.
“Dua pasukan pilihan (Terengganu dan Kelantan) sudah ditakdirkan bertemu pada suku akhir walaupun rata-rata peminat bola sepak tempatan mahu menyaksikan pertembungan kami pada final nanti.
“Ini kerana kedua-dua pasukan ini merupakan antara pasukan elit dalam liga tempatan ketika ini dan saya pasti perlawanan menentang Kelantan bukan satu tugasan yang mudah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Irfan juga tidak mahu barisan pemainnya leka dan mendabik dada ekoran kejayaan menumpaskan Kelantan pada final Piala FA musim lalu dan mereka perlu memberikan perhatian penuh apabila melayani pasukan The Red Warriors itu nanti.
Matlamat utama Terengganu adalah untuk memburu bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Stadium Sultan Mohamed IV pada 14 Oktober ini.
“Bagi saya, kejayaan menjuarai Piala FA sudah berlalu dan apa yang penting, kami perlu fokus untuk menghadapi cabaran daam Piala Malaysia. Kami perlu bekerja lebih keras untuk meraih kemenangan.
“Sejarah mungkin mengajar kami untuk terus mempamerkan aksi cemerlang tapi kegigihan adalah kunci utama untuk kami memburu kejayaan (apabila bertemu Kelantan nanti).
Irfan memberitahu, beliau berharap sokongan padu penyokong yang bakal memenuhi stadium pada malam esok menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk beraksi dengan lebih cemerlang.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada penyokong-penyokong Terengganu yang sentiasa memberikan semangat kepada kami untuk tampil dengan aksi cemerlang,” katanya.
INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!