October 18, 2011

MK Tak Bimbing Red Warriors


KETUA jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengesahkan tidak akan membimbing skuad The Red Warriors (TRW) pada Liga Malaysia musim depan kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga. 

Pengendali berasal dari Perak itu yang berjaya membantu Kelantan menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super selain naib juara Piala FA musim ini, mengakui tempoh sembilan bulan bersama TRW begitu menggembirakannya.

“Saya teruja apabila diberi tanggungjawab oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa serta berterima kasih kepada beliau kerana memberi kepercayaan membimbing pasukan Kelantan.
“Dalam tempoh sembilan bulan bersama Kelantan, saya berjaya membantu pasukan TRW menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super serta naib juara Piala FA musim ini,” katanya ketika ditemui di Kafe TRW, di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), semalam.

Kelantan terkandas pada peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini apabila tewas kepada Terengganu dengan keputusan agregat 3-5.

Karathu mengakui Kelantan adalah pasukan yang amat dekat dihatinya kerana sebelum ini pernah bersama serta membimbing pasukan Cik Siti Wan Kembang itu pada 1993.

Mengenai kekuatan empat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini, Karathu melihat Terengganu, Selangor, T-Team dan Negeri Sembilan mempunyai kelebihan masing-masing dan sukar diramalkan pasukan mampu mara ke peringkat akhir.

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!