October 20, 2011

Liga Juara-Juara Eropah | Real Madrid Bahaya



Real Madrid menunjukkan kekuatan sebenar yang dimiliki mereka apabila melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Lyon pada saingan Kumpulan D kempen Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada aksi di Santiago Bernabeu itu, ternyata percaturan jurulatih Real, Jose Mourinho untuk menurunkan penyerang Perancis, Karim Benzema telah membuahkan hasil.
Buktinya, Benzema berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum tiga lagi gol Real terhasil menerusi Sami Khedira (47), Hugo Lloris (jaringan sendiri - 55) dan Sergio Ramos (81).
Pada awalnya, keputusan Mourinho meletakkan Benzema dalam kesebelasan utama mengundang rasa pelik penyokong-penyokong setia Real kerana mereka menganggap Gonzalo Higuain beraksi lebih baik dalam perlawanan sebelum itu.
Ini kerana penyerang antarabangsa Argentina itu berjaya meledak hatrik ketika Real menewaskan Real Betis dalam saingan Liga Sepanyol, Ahad lalu.
Namun, Mourinho yang diminta mengulas mengenai keputusannya itu berkata: "Kami tahu corak permainan bagaimana yang akan berlaku pada perlawanan hari ini (awal pagi semalam).
"Sebab itu, kami memerlukan seorang pemain yang mampu beraksi dalam situasi ruang yang padat dan ternyata Benzema berjaya melakukannya.
"Kami juga tahu daripada awal lagi bahawa kami mampu untuk memenangi perlawanan tersebut dan kami menang dengan bergaya.
"Dengan berbaki tiga perlawanan lagi, Ajax Amsterdam atau Lyon masih boleh bergelar juara kumpulan, tetapi kami tidak merasai tekanannya," kata Mourinho.
Kemenangan itu menyaksikan Real muncul selaku pendahulu Kumpulan D dengan mengumpul sembilan mata maksimum dalam tiga perlawanan.
Lyon dan Ajax pula berkongsi kedudukan di tangga kedua dengan selepas masing-masing mengumpul empat mata.





  INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!