October 20, 2011

Liga Juara-Juara Eropah | Penalti Rooney Selamatkan Setan Merah


Wayne Rooney menyempurnakan dua sepakan penalti pada babak kedua tatkala Manchester United bergelut menewaskan kelab Romania yang kurang terkenal, Otelul Galati 2-0 untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Eropah dari Kumpulan C. 

Penyerang England itu membantu juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mencatat kemenangan pertama peringkat kumpulan dengan gol pertamanya menerusi sepakan penalti pada minit ke-64 selepas bola terkena tangan Sergiu Costin dan mengulanginya pada masa kecederaan selepas dia dikasari Liviu Antal.

Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, dengan kapten United, Nemanja Vidic dilayangkan kad merah kerana kekasaran terhadap Gabriel Giurgiu pada minit ke-66, sebelum Milan Perendija dibuang padang seminit sebelum perlawanan tamat kerana menerima kad kuning kedua.
United membuka kempen dalam saingan peringkat kumpulan dengan seri berturut-turut, namun skuad kendalian Sir Alex Ferguson itu mendaki ke tangga kedua kumpulan dua mata di belakang Benfica dengan perlawanan timbal balik menentang Otelul di Old Trafford berlangsung dalam tempoh dua minggu.

Saya berpuashati dengan keputusan ini. Ia satu malam yang panjang dan kami terpaksa bersabar, kata Ferguson. Saya tidak fikir kami bernasib baik. Kami adalah pasukan yang bermain dengan baik. Saya rasa kami memperbaiki corak permainan pada babak kedua.

Ferguson tidak mengambil risiko dengan barisan pemainnya, memilih hampir barisan terkuat menentang sebuah pasukan yang diakuinya tidak pernah didengarnya sebelum undian peringkat kumpulan.




INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!