September 5, 2011

QPR, Cardiff Perlu Permohonan Rasmi


QPR sah menjadi milik Tony Fernandes

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), meminta dua pemain yang akan dipanggil mengikuti sesi latihan ke England supaya merujuk kepada pengurusan pasukan masing-masing terlebih dahulu, sebelum berhajat ke sana. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzudin Ahmad berkata, dua kelab berkenaan, Queens Park Rangers (QPR) dan Cardiff City juga perlu me-ngemukakan permohonan rasmi kepada pihak bertanggungjawab ke atas Safiq Rahim dan Safee Sali, sebelum memberikan mereka sebarang tawaran. 

“Sesungguhnya secara rasmi tidak ada pihak daripada QPR atau Cardiff mengemukakan permohonan rasmi dengan FAM, berhubung perkara tersebut. 

“Saya pun hanya mendapat berita ini daripada pihak media. Bagaimanapun, saya menyambut baik berita ini kerana usaha mereka memberi pendedahan kepada pemain kita di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya di sini, kelmarin. 

Beliau berkata, dua kelab Inggeris itu, perlu mengikut saluran yang betul dan mematuhi syarat tertentu, kerana setiap pemain adalah hak milik pasukan negeri atau kelab masing-masing. 

“Dalam isu Safiq dan Safee, kedua-dua pengurusan tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai tawaran tersebut dan saya merayu serta berharap QPR dan Cardiff membuat tindakan tepat seperti menghantar surat kepada FAM berhubung perkara tersebut dan ia masih belum terlambat untuk berbuat demikian,” katanya. 

Menurutnya, FAM berhak dan mempunyai kuasa, menyekat pemergian kedua pemain itu kerana kedua-duanya terikat dengan kontrak pasukan masing-masing. 

“Masih belum terlambat untuk mereka memilih jalan yang betul dan bukan susah untuk membuat sepucuk surat menyatakan tawaran berkenaan,” katanya.

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!