June 4, 2011

Kelayakan Olimpik | Lubnan Lawan Sukar


RAHSIA kekuatan skuad Olimpik Lubnan yang dianggap misteri akhirnya terbongkar apabila jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee berjaya mengintip aksi pemain lawan itu di Istanbul, Turki baru-baru ini.

Maklumat yang diperoleh pengendali negara itu sudah cukup untuk memberi peringatan kepada anak buahnya bahawa Lubnan bukan calang-calang pasukan yang bakal mereka temui pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 di Beirut 19 Jun ini.

Walaupun Lubnan tewas 3-0 pada aksi persahabatan dengan skuad bawah 23 tahun Turki, Kim Swee tetap menganggap Lubnan masih memiliki kekuatan tersendiri terutama di bahagian serangan yang boleh menjadi duri dalam daging kepada skuad negara.

“Kita tak boleh bandingkan Lubnan dengan Turki yang sememangnya pasukan cukup terkenal di Eropah. Pada saya, walaupun Lubnan tewas, mereka pasukan lebih baik berbanding Pakistan yang kita temui sebelum ini. “Saya cukup kagum dengan aksi tiga pemain penyerang Lubnan dan juga pemain tengah. Dari segi fizikal tidak banyak bezanya, tapi mereka menunjukkan persefahaman, teknik dan corak hantaran pendek yang menarik,” katanya.

Menurut Kim Swee, maklumat yang diperoleh itu bakal membantunya untuk menyusun strategi dalam pertemuan pertama di Beirut sebelum beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 23 Jun.

“Sebelum ini saya tidak tahu apa-apa mengenai pasukan Lubnan dan sekurang-kurangnya selepas saya menyaksikan mereka bermain menentang Turki, saya sudah mendapat gambaran sebenar. Ini akan membolehkan saya melakukan persiapan lebih rapi dalam tempoh lebih kurang dua minggu ini.


“Saya akui pertemuan dengan Lubnan bukan mudah tapi tidak mustahil untuk kami mencipta sesuatu,” katanya yang memulakan persiapan skuad negara dengan mengadakan perlawanan dengan skuad Olimpik Kemboja di Phnom Penh Selasa depan.

Selepas itu beliau akan memilih 21 daripada 26 pemain untuk menjalani latihan pusat serta perlawanan menentang skuad Olimpik Qatar di Doha pada 13 Jun ini.
Skuad Olimpik negara mara ke pusingan kedua kelayakan Olimpik selepas melepasi halangan awal ke atas Pakistan Mac lalu menerusi agregat 2-0.


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!
ARE YOU THE 'MOST WANTED?'
MAROON 5 GRABS HTC!