
Dengan hanya 5 mata membezakan mereka, pertemuan ini pastinya penting untuk mereka apatah lagi rekod 29 permainan tanpa kalah United dilebur Wolves minggu lalu manakala City pula sedang ingin mengekalkan rentak berikutan kemenangan 3-0 menentang West Brom.
United dilihat mahu mengembalikan kehebatan serangan mereka setelah gagal berhasil ketika menentang Wolves.
Wayne Rooney dijangka akan beraksi bersama dengan Dimitar Berbatov dalam bahagian serangan setelah pemain Mexico, Javier Hernandez kepenatan selepas sesi perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat.
Bahagian pertahanan pula, Rio Ferdinand dilihat masih lagi belum cergas untuk beraksi sementara Jonny Evans dan Chris Smalling masih cedera.
Sir Alex Ferguson berkemungkinan akan menggunakan khidmat Wes Brown untuk bermain bersama Rafael dan Nemanja Vidic.
Bagi City pula, Roberto Mancini pastinya gembira kerana Tevez tidak disenarai dalam skuad Argetina untuk perlawanan persahabatan.
Tevez yang menghasilkan hatrik minggu lalu dilihat akan berpasangan dengan pemain baru dari Bosnia, Edin Dzeko di bahagian serangan kerana Mario Ballotelli masih belum cergas.
Pemain sayap dari Sepanyol, David Silva yang menjaringkan gol tunggal untuk negaranya baru-baru ini akan menjadi penggerak utama serangan City.